ALOR SETAR, 13 JULAI 2022 – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) mengagihkan sumbangan daging bernilai RM144,040 kepada 2,444 keluarga asnaf dan miskin di Kedah.

Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Syeikh Zakaria Othman berkata, agihan daging tersebut melibatkan dua buah sekolah zakat dan 38 masjid di tujuh daerah di Kedah.

Katanya, inisiatif meraikan golongan asnaf tidak berkemampuan untuk mendapatkan daging bagi dinikmati bersama keluarga khususnya dalam suasana Aidiladha dimulakan pada 2019 memandangkan ada tidak mampu untuk membeli sekilogram (kg) daging.

“Bermula dengan tiga ekor lembu pada 2019, seterusnya lima ekor lembu dan empat kambing pada 2020 dan 11 ekor lembu pada tahun lepas.

“Pada 2022, LZNK berjaya mencapai peningkatan melebihi dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya, iaitu 24 ekor lembu,” katanya.

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita selepas Majlis Agihan Korban kepada Asnaf Kedah di Kolej Agama Sultan Abdul Halim, Jalan Suka Menanti, di sini, pada Rabu.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Pertubuhan Maahad Dini Sultan Abdul Halim, Datuk Paduka Syeikh Hasbullah Abd Halim dan Pengurus Kanan Jabatan Syariah dan Pematuhan Halal QSR Brands (M) Holdings Berhad, Hayazi Darus.

Mengulas lanjut, katanya, LZNK melalui platform Asnaf Care telah memberi peluang kepada masyarakat beribadah melalui korban dan akikah serta menyumbang daging bagi membantu golongan itu meraikan Aidiladha tahun ini.

Menurutnya, program ini mengalakkan masyarakat yang berkemampuan untuk sama-sama melakukan ibadah korban dan menyumbang mengikut kemampuan demi membantu gokongan memerlukan.

Tambah beliau, LZNK mencatatkan jumlah terimaan korban dan akikah serta sumbangan sebanyak 24 ekor lembu tahun ini termasuklah lima ekor dari QSR Brand dan seekor lembu dari ASIATEX Sdn.

Katanya, antara lain, masyarakat juga boleh membuat sumbangan sekilogram (kg) daging melalui Asnaf Care, yang mana sebanyak 144 kg daging berjaya dikumpulkan menerusi program itu.

Tambah beliau, pihaknya menjangkakan momentum agihan daging terus meningkat pada masa akan datang berdasarkan perkembangan jumlah agihan tersebut.

Disunting Oleh : Unit Penerangan, Bahagian Komunikasi Strategik


350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF??

HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf”