ALOR SETAR, 13 JULAI 2022 – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) akan membantu membina semula kediaman mangsa banjir yang musnah dan rosak akibat banjir pada Isnin minggu lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Syeikh Zakaria Othman berkata, pihaknya akan meneliti dan mengenal pasti nama mangsa banjir di daerah tersebut memandangkan laporan taksiran penuh belum dimuktamadkan.

Beliau berkata, ia memandangkan bilangan mangsa banjir dilaporkan di Baling makin bertambah berbanding sebelum ini.

“Buat masa ini, kita telah menyalurkan sumbangan sebanyak RM22,000 melalui Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk keperluan memasak kepada sukarelawan dan petugas, selain membantu dengan mencuci kediaman.

“Malah, kita bersama Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) akan memberi bantuan kepada mangsa dalam bentuk pembinaan semula kehidupan dan membangunkan kediaman mangsa,” katanya.

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita selepas Majlis Agihan Korban kepada Asnaf Kedah di Kolej Agama Sultan Abdul Halim, Jalan Suka Menanti di sini pada Rabu.

Menurut Zakaria, berdasarkan maklumat diterima, terdapat kategori berbeza kerosakan mangsa banjir, iaitu musnah sepenuhnya, rumah perlu dibaiki dan barang rumah rosak.

“Jadi, kita akan menyediakan peruntukan sewajarnya selepas penilaian dibuat Pejabat Daerah Baling dan sehingga kini, sudah ada beberapa agensi menghubungi kita untuk menghulurkan bantuan melalui LZNK,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya sedang menunggu laporan penuh yang dimuktamadkan bagi menyediakan peruntukan sewajarnya untuk mangsa banjir Baling.

“Difahamkan, tapak rumah telah dikenal pasti di tanah Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) di Kampung Sadek.

“Insya-ALLAH, LZNK akan bersama untuk fasa pembinaan semula rumah,” katanya.

Disunting Oleh : Unit Penerangan, Bahagian Komunikasi Strategik


350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF??

HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf”