19 JULAI 2018 – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) hari ini menerima satu lawatan kerja daripada Badan Amil Zakat Nasional (BAZNAS) Provinsi Kalimantan Timur, Indonesia.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Syeikh Zakaria Othman berkata, pihaknya sangat berbesar hati menerima kedatangan Baznas yang bertujuan untuk berkongsi pengalaman dan menimba ilmu untuk dikongsi bersama di Baznas Kalimantan Timur.

“Kami amat mengalu-alukan kedatangan mereka dalam mencari kaedah untuk memperkasakan ekonomi asnaf dan mencari kesefahaman dalam mengukuhkan lagi hubungan antara LZNK-Baznas”.

Ketua BAZNAS Kalimantan Timur, Dr. H. Fachrul Ghazi ketika ditemui berkata, pihaknya sangat teruja untuk melihat pembaharuan yang telah dibuat oleh LZNK dalam memperkasakan pengumpulan (kutipan) dan distribusian (agihan) di Negeri Kedah ini dan mudah-mudahan ianya dapat memberi pulangan kepada Baznas Kalimantan Timur.

“Setelah merujuk kepada beberapa agensi zakat di Malaysia, rata-ratanya menuding (mencadangkan) supaya kami merujuk ke Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK)”

“Demikian saya terus berkomunikasi (berhubung) dengan pihak Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan ternyata kunjungan yang kami rencanakan ini berhasil malahan disambut baik oleh pihak LZNK”.

Delegasi tersbeut turut dibawa melihat Kompleks Pembangunan Asnaf Zakat, Pusat Bekalan Makanan dan Sekolah Zakat LZNK serta urus-tadbir pentadbiran yang bersistematik di Pejabat Zakat Daerah.

Turut hadir sama, Ketua Bidang Pendistribusian dan Pendayagunaan BAZNAS, Dr. Fariddhotul Islam, Ketua Bidang Kepegawaian Sumber Daya Manusia (SDM), Dr. Mursyid, Wakil LZNK Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Agihan, Ridzuan Ahmad,
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Dakwah dan Kutipan, Faisal Mustaffa dan Pengurus Perhubungan Awam, Ahmad Hambali Mohd Puat.