ALOR SETAR, 12 APRIL 2021:– Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menetapkan tiga kadar zakat fitrah bagi negeri itu iaitu RM7, RM14 dan RM21.

Mufti Kedah, Sohibus Samahah Dato’ Paduka Syeikh Fadzil Haji Awang, berkata penetapan kadar zakat itu adalah berdasarkan kepada harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan oleh kebanyakan penduduk Islam negeri Kedah pada kadar timbangan satu gantang Baghdad bersamaan 2.6 kilogram beras.

“Kadar RM7 adalah untuk umat Islam yang menjadikan makanan hariannya daripada beras jenis super special tempatan dan setaraf dengannya manakala RM14 adalah daripada beras jenis super import, beras perang, beras pulut, herba ponni, beras wangi dan setaraf dengannya.

“Bagi kadar RM21 pula adalah untuk umat Islam yang menjadikan makanan hariannya daripada beras jenis basmathi, beras Jepun, beras merah dan setaraf dengannya,” katanya pada sidang media penetapan kadar zakat fitrah Kedah 2021, di Menara Zakat di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman.

Mengulas lanjut, Dato’ Paduka Syeikh Fadzil yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agihan Zakat dan Ahli Lembaga Zakat Kedah berkata, LZNK mensasarkan kutipan zakat fitrah pada tahun ini sebanyak RM11.5 juta dengan anggaran peningkatan sebanyak RM900,000 berbanding kutipan tahun lalu sebanyak RM10.6 juta.

Katanya sasaran itu seiring dengan situasi orang ramai yang dapat kembali bekerja berbanding tahun lalu ramai terkesan dan tidak boleh keluar bekerja ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Tahun lalu kita tetapkan kadar zakat fitrah pada empat kadar iaitu RM5, RM7, RM14 dan RM21.Kadar RM5 diumumkan pada tahun 2020 bagi memberi ruang kepada golongan kurang berkemampuan menunaikan kewajipan itu ketika penularan COVID-19.

“Bagaimanapun kita dapati ramai memilih membayar zakat fitrah pada kadar RM7 walaupun terdapat pilihan RM5. Jadi tahun ini kita jangka berlaku peningkatan kutipan,” kata beliau.

Bagaimanapun, katanya, umat Islam digalakkan untuk membayar secara dalam talian bagi mengelak penularan COVID-19.

Sementara itu, Zakaria berkata sebagai persediaan menghadapi Ramadan dan Syawal pada tahun ini, LZNK melancarkan program sumbangan ayam segar yang dinamakan sebagai Program Infak Aidilfitri kepada hampir 13,000 asnaf di Kedah.

Katanya, LZNK mensasarkan sumbangan sebanyak tiga ekor ayam bagi setiap keluarga asnaf dengan anggaran bernilai RM522,000.

“Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian menerusi Portal Asnaf Care https://asnafcare.com.my,” katanya.

Disunting Oleh : Unit Media Lembaga Zakat Negeri Kedah


350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF??

HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf”