ALOR SETAR, 24 APRIL 2022 : Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) berjaya membuat kutipan zakat sebanyak RM71.83 juta sejak 1 Januari 2022.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan lebih RM18 juta berbanding jumlah kutipan pada tarikh sama tahun lepas iaitu sebanyak RM53.81 juta.

Pengerusi LZNK, Datuk Paduka Ammar Datuk Shaikh Mahmood Naim berkata jumlah keseluruhan agihan yang telah dibuat bagi tarikh yang sama tahun ini telah mencecah RM47.7 juta.

Ini membuktikan bahawa kesedaran dan kepercayaan umat Islam terhadap LZNK semakin pulih dan meningkat saban hari serta tahun.

Selain menunjukkan bahawa zakat yang dibayar oleh rakyat negeri itu telah diurus dan diagihkan kepada para penerima yang layak mengikut skim-skim dan syarat yang telah ditetapkan.

“Bagi pihak Lembaga Zakat Negeri Kedah berharap kerjasama dari semua pihak dan lapisan masyarakat untuk terus mengetengahkan dan menguar-uarkan usaha-usaha ini kepada seluruh masyarakat umum, bagi memberi kesedaran, serta persepsi yang baik. Sekali gus memungkinkan lebih ramai pihak untuk terus membayar zakat dan diagihkan kepada penerima di negeri Kedah ini,” kata Ammar di sini.

Ammar memberitahu, tahun ini LZNK mensasarkan kutipan zakat fitrah sebanyak RM11.7 juta dengan anggaran peningkatan sebanyak 5 peratus berbanding kutipan tahun lalu sebanyak RM11.4 juta.

Semua kutipan zakat fitrah ini akan diagihkan sepenuhnya pada bulan Ramadan ini kepada lebih 21,000 golongan asnaf yang layak iaitu penerima zakat bulanan dibawah kategori fakir dan miskin, muallaf, dan guru agama dibawah asnaf fisabilillah.

Setiap penerima akan menerima sebanyak RM500 seorang.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah di Dewan Datuk Shaikh Mahmood Naim, Menara Zakat.

Pada majlis itu Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin berkenan menerima bayaran zakat perniagaan berjumlah RM13.3 juta daripada empat buah syarikat korporat iaitu Tabung Haji (TH), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), dan syarikat Padi Beras Nasional (BERNAS).

Baginda turut berkenan mengagihkan zakat fitrah berjumlah RM11.97 juta kepada sebahagian asnaf fakir, miskin, muallaf dan fisabilillah.

Disunting Oleh : Unit Penerangan, Bahagian Komunikasi Strategik


350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF??

HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf”