ALOR SETAR, 07 SEPTEMBER 2022 – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menerima zakat perniagaan daripada 9 buah syarikat-syarikat korporat berjumlah RM 2,049,999.19 yang diserahkan dalam satu majlis penyerahan zakat perniagaan bersama syarikat korporat di Dewan Dato’ Shaikh Mahmood Naim, Menara Zakat Alor Setar.

Zakat Perniagaan tersebut telah diserahkan kepada Mufti Negeri Kedah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kutipan dan Agihan Zakat Kedah, Datuk Paduka Syeikh Fadzil Haji Awang dengan disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah, Datuk Syeikh Zakaria Othman.

Antara syarikat yang mendahului penyerahan zakat perniagaan ini Syarikat Air Darul Aman (SADA) berjumlah RM300,000.00, diikuti THB Maintenance Sdn. Bhd sebanyak RM285,077.81, THB Infra Sdn. Bhd sebanyak RM178,304.64 dan Bank Muamalat Malaysia Berhad berjumlah RM277,179.40.

Turut menyerahkan zakat perniagaan ialah Agro Bank Berhad yang mengeluarkan zakat sebanyak RM271,353.29, FGV Holdings Berhad berjumlah RM247,274.00, Mudim Zakaria Food Industries Sdn. Bhd sebanyak RM221,000.00, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) sebanyak RM145,560.58, dan Takaful Malaysia Berhad berjumlah RM124,249.47.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Syeikh Zakaria Othman berkata, syarikat yang membayar zakat perniagaan akan dapat membina hubungan serta kepercayaan pengguna untuk terus setia dengan mereka.

“Ia bukan hanya melambangkan rasa syukur kepada rezeki perniagaan yang dikurniakan ALLAH kepada mereka, malah perniagaan mereka akan mendapat jaminan perlindungan daripada ALLAH terutama dalam suasana ketidaktentuan ekonomi sekarang.

“Di dalam dunia globalisasi, syarikat korporat bukan sahaja perlu bersaing untuk menyediakan perkhidmatan yang cekap dan kualiti produk yang baik tetapi juga perlu bersama menonjolkan sikap kepedulian terhadap mereka yang memerlukan melalui pengagihan kekayaan syarikat bagi membantu sosio ekonomi mereka,” katanya.

Hadir sama dalam majlis tersebut, Pengerusi Jemaah Pengarah (NAFAS) Datuk Haji Zamri Yaacob.

Disunting Oleh : Unit Penerangan, Bahagian Komunikasi Strategik


350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF??

HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf”