Alor Setar – Program Konvoi Kembara Zakat (KKZ) yang dianjurkan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dengan kerjasama Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) mendapat reaksi positif dan berjalan dengan jayanya.

Ketua Pengarah JAWHAR, Y. Bhg. Datuk Haji Anan bin A Mohd melahirkan rasa terharu dengan penganjuran kali ini yang disifatkannya sebagai satu kejayaan terbaik dan menjadi contoh kepada program KKZ akan datang.

Tahniah atas kejayaan penganjuran KKZ kali ini kepada LZNK.

Terdahulu, program yang berlangsung selama dua (2) hari ini melibatkan seramai 200 orang peserta daripada seluruh Agensi Mengurus Zakat (AMZ) di Malaysia dengan lebih 50 buah kenderaan peserta konvoi.

Pusat Rawatan Haemodialisis Zakat Kedah menjadi lokasi pertama peserta konvoi ini. Mereka dibawa melihat sendiri pesakit yang menerima rawatan di sini dan melihat kecekapan pengendalian Pusat Haemodialisis ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Ridzuan bin Ahmad berkata, lawatan ke sini (Pusat Haemodialisis) bakal membuka mata peserta konvoi ini terhadap kecekapan kami (LZNK) mengendalikan pesakit dan membantu mereka hasil wang zakat yang dikutip selama ini.

Kos perbelanjaan yang tinggi memungkinkan tidak semua agensi zakat memiliki pusat rawatan ini. Pun begitu, kami berterima kasih kepada pembayar zakat kerana terus berzakat dengan kami.

Peserta KKZ turut dibawa melawat ke Pondok Warga Tua di Kampung Lanai, Baling yang telah menerima dana zakat daripada LZNK.

Sebagai inisiatif kepada hasil kerjasama antara semua AMZ yang terlibat, satu projek kekal akan dibina hasil sumbangan AMZ setiap negeri. Projek ini merupakan sebuah surau yang diberi nama Surau Al-Barakah yang bakal dibina di Kampung Batu 8, Gurun.

Semoga dengan pembinaan surau tersebut merealisasikan matlamat zakat dalam membantu orang ramai terutamanya asnaf.

 

news_kkz1 news_kkz2