ALOR SETAR, 14 NOVEMBER 2021 – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) diminta mengenalpasti mekanisme terbaik dan bersesuaian bagi menentukan kadar zakat hasil bumi seperti galian dan mineral yang boleh dikutip di Kedah.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, beliau menyokong cadangan LZNK untuk memastikan kutipan zakat hasil bumi di negeri itu boleh dilaksanakan.

“Bagaimanapun, kena ada mekanisme baharu dengan meletakkan satu nilai yang bersesuaian untuk kutipan zakat ini memandangkan harga hasil bumi tidak stabil dan menentu.

“Adakalanya, nilai hasil bumi naik namun adakalanya ia turun. Apabila tinggi ia menjadi mahal dan segala perkara ini perlu diambil kira untuk proses kutipan zakat tersebut,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) kepada LZNK bagi tahun 2020 di Wisma Darul Aman di sini, pada Ahad.

Hadir sama,Pegawai Kewangan Negeri Kedah, Datuk Ishak Murat dan Ketua Pegawai Eksekutif PKNK, Datuk Syed Yussof Syed Othman.

Katanya, LZNK disaran untuk meneliti mekanisme terbaik bagi menentukan kadar zakat hasil bumi di Kedah dengan meliputi pelbagai jenis galian.

Muhammad Sanusi berkata, beliau berharap semua pihak bersetuju memandangkan zakat hasil bumi merupakan satu perkara yang baik.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Zakaria Othman berkata, Kedah perlu menstrukturkan semula perniagaan di bawah kerajaan negeri berkaitan sumber negeri yang dikenakan zakat.

“Sekarang, tugas kita memastikan hasil sumber negeri yang perlu dizakatkan dikenakan zakat. Sebagai contoh zakat hasil bumi. Kaedah kiraan zakat galian seperti bijih dengan zakat perniagaan perlu diperhalusi,” katanya.

Beliau bersetuju bahawa satu mekanisme menyeluruh perlu diwujudkan bagi memastikan semua hasil bumi Kedah perlu ditafsir mengikut kadar zakat yang betul.

Mengulas lanjut, Zakaria memberitahu, kaedah kutipan zakat hasil bumi telah sedia ada cumanya perlu disusun semula dan dibentangkan kepada kerajaan, sekali gus menjadi mekanisme baharu.

Dalam perkembangan lain, Zakaria berkata, pihaknya menyambut baik peningkatan zakat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan emas tahun ini berbanding tahun lepas.

“Walaupun tahun 2021 belum berakhir, kutipan zakat KWSP setakat ini mencecah RM3.6 juta berbanding RM2.6 juta pada tahun lepas disebabkan kesedaran masyarakat untuk membayarnya makin meningkat.

“Begitu juga, kutipan zakat emas yang kini mencecah RM190,000 berbanding RM160,000 tahun lepas walaupun negara berdepan pandemik Covid-19,” katanya.

Sebelum itu, sebanyak lapan kumpulan syarikat PKNK termasuk Kedah Medical Centre (KMC) menyerahkan zakat perniagaan mereka membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak RM1.72 juta.

Disunting Oleh : Unit Penerangan, Bahagian Komunikasi Strategik


350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF??

HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf”