ALOR SETAR, 10 JANUARI 2021 : Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menyalurkan bantuan makanan bernilai RM241,000 bagi membantu 26,591 mangsa banjir di Pahang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syeikh Zakaria Othman, berkata bantuan menerusi Projek Asnaf Care itu adalah sebahagian inisiatif LZNK bagi membantu meringankan beban kerajaan negeri Pahang dan Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dalam menangani musibah banjir.

Katanya, kesemua peruntukkan yang digunakan adalah di bawah Asnaf Amil dan tidak membabitkan peruntukkan asnaf lain.

“Menurut laporan terkini Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga semalam sebanyak sembilan daerah di Pahang mengalami banjir mengakibatkan 286 pusat pemindahan dibuka bagi menempatkan 26,591 mangsa daripada 7,245 keluarga.

“Jadi bantuan ini adalah untuk menunjukkan solidariti LZNK dalam menjalankan misi kemanusiaan membantu saudara yang terjejas akibat banjir di sana dengan lebih meluas,” katanya.

SUK Kedah merangkap Pengerusi Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Dato’ Paduka Amar Dato’ Shaikh Mahmood Naim  melepaskan konvoi misi bantuan khas banjir Lembaga Zakat Negeri Kedah ke negeri Pahang di perkarangan Stadium Darul Aman, Alor Setar. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran misi bantuan banjir LZNK ke negeri Pahang di perkarangan Stadium Darul Aman, di sini, hari ini.

Pelepasan itu disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah yang juga Pengerusi LZNK, Yang Berhormat Dato’ Paduka Ammar Dato’ Shaikh Mahmood Naim.

Turut hadir ialah Mufti Kedah, Sohibus Samahah Dato’ Paduka Syeikh Fadzil Haji Awang serta Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah.

Zakaria berkata antara jenis bekalan yang dihantar ke Pahang adalah 90 tan beras atau 18,000 kampit beras lima kilogram (kg), 1,000 botol kicap dan lain-lain barangan makanan dengan menggunakan tiga buah treler dan dua lori.

Katanya, misi konvoi itu turut disertai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah dan LZNK.

“Kita juga mendapat kerjasama daripada Syarikat-Syarikat Sahabat Zakat Kedah seperti Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) dan Mudim Zakaria Food Industries Sdn.Bhd.

“Misi ini dijangka mengambil masa selama tiga hari dan kesemua makanan akan dihantar ke Pejabat Tanah dan Daerah Jerantut Pahang serta Depoh Simpanan Bencana Kuantan, Kompleks Penyayang, Kampung Tiram, Kuantan,” katanya.

Disunting Oleh : Unit Media Lembaga Zakat Negeri Kedah


350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF??

HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf”