KUBANG PASU, 6 MEI 2020 – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dengan kerjasama Bank Islam Malaysia Bhd. melaksanakan projek perintis bagi membantu kalangan penjawat awam tidak bergaji dan hanya memperolehi elaun, untuk memiliki rumah sendiri.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LZNK, Syeikh Zakaria Othman berkata, kerjasama itu merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia dengan pihaknya baru-baru ini telah menemubual 10 guru Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) untuk membuat saringan.

“Daripada 10 individu berkenaan, kami memilih dua pasangan guru KAFA yang tinggal di rumah sewa untuk memulakan projek perintis ini.

“Melalui projek ini, kita akan membina sebuah rumah bernilai RM45,000 buat mereka. RM20,000 dibiayai LZNK sementara bakinya, mereka perlu membuat pinjaman peribadi dengan Bank Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyerahkan Rumah Zakat Kedah kepada sebuah keluarga fakir miskin di Kampung Sampang, Bukit Wang dekat sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, langkah tersebut merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia dengan dua buah rumah berkenaan akan dibina secepat mungkin selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

“Ini merupakan projek perintis dan kalau berjaya, insya Allah kita akan buka untuk penjawat awam tidak bergaji ini membuat permohonan,” katanya.

Beliau dalam masa sama menyeru syarikat-syarikat korporat atau mana-mana agensi untuk menjalin kerjasama bersama LZNK bagi membantu mereka yang memerlukan rumah secara bersama.

“Badan korporat tersebut cuma perlu menaja RM20,000 dan itu akan membolehkan pihak memerlukan memiliki rumah di mana penama boleh membuat pinjaman dengan Bank Islam untuk melunaskan bakinya,” katanya.

Disunting Oleh : Unit Media Lembaga Zakat Negeri Kedah


350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF??

HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf”