PUTRAJAYA, 18 FEBRUARI 2021 :- Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) sekali lagi menerima Anugerah Inovasi Zakat Terbaik (Agihan) Peringkat Kebangsaan bagi Tahun 2021 di Majlis Penyampaian Anugerah Zakat Kebangsaan 2021.
Pada tahun 2019 LZNK juga telah menggondol anugerah yang sama, Anugerah Inovasi Zakat Terbaik (Agihan) Kebangsaan bagi pelaksanaan Pusat Bekalan Makanan (Food Bank) Fakir dan Miskin di semua 578 buah masjid seluruh negeri Kedah.
Pada tahun 2021 ini, LZNK memenangi anugerah tersebut dengan mempertandingkan Sistem Zakat On Touch yang merupakan suatu produk inovasi yang dilancarkan oleh LZNK pada tahun 2018.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Haji Idris Haji Ahmad kepada Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah, Dato’ Syeikh Zakaria Othman di Hotel Everly, Putrajaya.

Majlis Sambutan Bulan Zakat Kebangsaan 2021 dianjurkan oleh Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), secara maya yang bertemakan “Zakat Prihatin: Muzakki Cakna, Asnaf Merasa” merupakan acara tahunan JAWHAR.

Antara objektif utama penganjuran program ini adalah untuk mempromosi dan menyebarluaskan informasi berkaitan amalan ibadah zakat dan pengurusannya oleh pusat pengurusan zakat, menyedarkan umat Islam bahawa Dana Zakat yang diuruskan oleh institusi ini adalah sebagai pelengkap kepada program-program pembangunan sosio-ekonomi negara yang dilaksanakan oleh Kerajaan, meningkatkan kefahaman dan keyakinan masyarakat mengenai kewajipan dan kepentingan sistem pengurusan dan perundangan zakat, memberi pendedahan mengenai produk-produk bantuan yang sedia ada serta mengukuhkan lagi jalinan kerjasama antara pusat-pusat pengurusan zakat dengan jabatan-jabatan, agensi-agensi, NGOs dan juga masyarakat dalam usaha memartabatkan syiar Islam melalui amalan berzakat di Malaysia.

Disunting Oleh : Unit Penerangan, Bahagian Komunikasi Strategik


350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF??

HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf”