KULIM, 21 MAC 2019 – Pejabat Zakat Daerah Kulim berkesempatan menziarahi dan meninjau tujuh buah rumah dari empat kariah di daerah Kulim yang telah terlibat dalam satu kejadian ribut lewat petang baru-baru ini.

Kejadian tersebut telah mengakibatkan kerosakan struktur bumbung dan rumah ketujuh-tujuh mangsa terlibat.

Dilaporkan bahawa terdapat tiga buah rumah terlibat di kawasan kariah Padang Limau, dua buah dari kawasan Padang Meiha dan sebuah dari kawasan Taman Mutiara dan Sungai Seluang.

Namun begitu, kesemua manga terlibat bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan berlaku berikutan kejadian tersebut.

Pejabat Zakat Daerah Kulim yang diwakili oleh Penolong Pegawai Bahagian Agihan dan Pembangunan Asnaf, Ustaz Mohd Khalil Mohd Zain terdahulu telah menyantuni ketujuh-tujuh keluarga yang terlibat dalam kejadian tersebut.

Sebuah rumah di Kampung Sungai Seluang merupakan diantara yang terlibat serta mengalami kerosakan serius di bahagian bumbung melibatkan hampir 50 keping zink diterbangkan oleh ribut.

Menurut anak bongsu kepada Ismail Said, 74, kejadian yang berlaku pada lewat petang itu telah mengakibatkan hampir keseluruhan bumbung rumah mereka diterbangkan angin yang kuat.

Semasa kejadian, hanya bapa saudara dan anak buah beliau sahaja berada didalam rumah untuk melindungi barangan elektrik daripada ditimpa air hujan.

Tiada sebarang kejadian yang tidak diingini menimpa mereka berdua sepanjang kejadian tersebut.

Tujuh kit bantuan makanan asas bersama borang permohonan bantuan telah disalurkan kepada keluarga mangsa sebagai tanda bersimpati keatas ujian yang menimpa mereka.

Permohonan bantuan mereka akan dinilai dibawah Skim Musibah Alam LZNK setelah segala proses dokumentasi dilengkapkan.  

350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF??

HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf”