KULIM, 26 NOVEMBER 2018 – Dua beranak yang tinggal di Kampung Naga Lilit,Kulim terpaksa mengikat perut kerana terputus bekalan makanan hampir dua hari akibat kehabisan wang belanja. Keluarga ini tinggal di sebuah rumah berhampiran jalan utama kawasan tersebut, namun tidak disedari oleh masyarakat setempat kerana pintu rumah mereka sentiasa ditutup serta keadaan persekitaran rumah yang tidak terurus dengan baik.

Seorang ibu berusia 69 tahun tinggal bersama seorang anak lelakinya yang berumur 36 tahun yang mempunyai masalah pembelajaran dan tidak memiliki pekerjaan yang tetap. Keadaan rumah mereka amat daif apabila tiada sebarang perabot rumah yang menjadi perhiasan, hanyalah sebuah sofa lama yang sudah lusuh.

Keadaan dua bilik yang kosong dan lapang hanya dibentangkan tikar sebagai pelapik tidur mereka setiap malam. Baju-baju lusuh sebagai pakaian dan sebuah bilik air yang tidak memiliki sumber air bersih untuk kegunaan mereka dan hanya bergantung sumber air sungai yang terdapat di belakang rumah mereka sahaja.

Tambah memburukkan keadaan, apabila wang yang disalurkan oleh anaknya tidak mencukupi mengakibatkan barangan dapur tidak dapat dibeli oleh mereka. Selama dua hari mereka menahan lapar kerana terputus bekalan makanan pada hari Selasa minggu lalu.

Kedaan mereka telah diketahui oleh Penolong Amil Kariah Naga Lilit, Ustaz Mat Jubit dan telah memaklumkan kepada pihak Pejabat Zakat Daerah Kulim untuk tindakkan selanjutnya. Ustaz Mat Jubit turut mewakili pihak masjid dengan menyalurkan bantuan awal kepada keluarga ini pada malam Rabu yang lalu.

Terdahulu Pegawai Zakat Daerah Kulim, Ustaz Mohd Khairi Ishak bersama kakitangannya telah turun menyantuni keluarga ini. Satu kit bantuan makanan dan wang belanja telah disalurkan bagi meringankan beban mereka sekeluarga.

“Sekiranya keadaan keluarga ini tidak disedari oleh masyarakat setempat, pasti kehidupan mereka menjadi lebih sukar. Namun, tahniah kepada masyarakat yang prihatin keatas nasib asnaf dengan menyalurkan maklumat mereka kepada pihak kami untuk dibantu. Keadaan mereka yang terpinggir, jauh dari komuniti masyarakat menjadi faktor golongan ini sering tercicir untuk menerima bantuan.

Namun, kita mengharapkan agar masyarakat terus prihatin keatas nasib mereka dengan menyalurkan maklumat kepada pihak kami dan bersama-sama membantu mereka dengan menunaikan zakat di Lembaga Zakat Negeri Kedah.” ulas Ustaz Mohd Khairi semasa ditemui.”Bantuan zakat sentiasa akan tiba kepada asnaf yang layak dan InshaaAllah bantuan yang sewajarnya akan diterima oleh keluarga ini setelah proses dokumentasi selesai.” tambahnya lagi.

350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF?? HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf