YAN, 2 APRIL 2019 – Saya hanya mampu melaungkan nama ALLAH sahaja apabila nampak ribut terbangkan bumbung rumah, demikian kata seorang mangsa kejadian ribut, Azizah Saidun, 70 tahun, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Teroi, Yan Kedah.

Katanya, kejadian berlaku sekitar jam 6 petang ketika beliau bersama seorang anak dan cucu sedang berehat di ruang tamu.

Menceritakan detik itu, beliau berkata kejadian tersebut bermula dengan angin yang sangat kuat dan hujan lebat sekaligus menyebabkan hampir kesemua bumbung rumahnya diterbangkan angin serta air hujan masuk ke dalam rumah.

Sementara itu mangsa kedua, Fazilah Ahmad, 56, berkata, ketika kejadian beliau pergi ke kedai untuk membeli barangan keperluan dapur.

Setibanya beliau di rumah, amat terkejut apabila melihat keadaan bumbung rumahnya beterbangan sekaligus ruang dapurnya basah akibat air hujan yang memasuki rumah.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Yan, Kapten (PA) Norlizawati Ismail berkata, sebanyak enam buah rumah terjejas berikutan kejadian ribut berkenaan meliputi 3 buah kampung iaitu Kampung Teroi, Kampung Sungai Lentang dan Kampung Belakang Masjid.

Terdahulu Pejabat Zakat Daerah Yan turut menyalurkan bantuan segera berupa kit bantuan makanan asas kepada semua mangsa yang terlibat.

Dalam pada itu, wakil PZD Yan berkata, pihak zakat Kedah akan mempertimbangkan bantuan yang sewajarnya untuk disalurkan kepada semua mangsa bagi membaik pulih kerosakan yang berlaku.

Hadir sama meninjau keadaan rumah mangsa Pegawai Khas Kanan Menteri Besar Kedah, wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan juga Angkatan Pertahanan Awam (APM).

 
350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF??

HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf”