KULIM, 30 SEPTEMBER 2018 – Tujuh beranak terputus bekalan makanan yang tinggal menumpang di Kampung Tebuan, Sedim dibantu Jabatan Zakat Daerah Kulim.

Pasangan Mohd Nazeri Hashim, 48 dan Noorhashimah Che Noor, 46, serta lima anaknya berusia antara 8 dan 23 tahun terpaksa mengikat perut apabila kehabisan wang sumbangan orang ramai untuk membeli makanan keperluan.

Ketua keluarga, Mohd Nazeri tidak dapat menjalankan tanggungjawab mencari rezeki kerana menghidap penyakit kencing manis serta sakit jantung dan isterinya juga tidak bekerja kerana menghidap masalah kesihatan.

Pegawai Jabatan Zakat Daerah Kulim, Mohd Khairi Ishak berkata, keluarga Mohd Nazeri menghubungi pihaknya yang memaklumkan keluarga mereka terputus bekalan makanan.

Menurutnya, bertindak atas aduan itu beberapa pegawai zakat segera menyantuni dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga terbabit.

“Kita menerima satu panggilan telefon yang memaklumkan mereka terputus bekalan makanan sebab tiada duit. Bertindak atas aduan itu, kita turun menyantuni keluarga terbabit dan mendapati keluarga ini memang mengalami masalah kewangan.

“Jadi kita menyampaikan satu kit bantuan makanan asas kepada keluarga ini bersama wang tunai untuk digunakan membeli keperluan asas yang lain,” katanya.

Mohd Khairi berkata, pihaknya juga akan memproses bantuan zakat kepada keluarga ini di bawah Skim Had Kifayah selain terus memberi bantuan secara bulanan di bawah skim yang ada untuk keluarga itu.

“Kita sentiasa bersedia untuk memberi bantuan tanpa mengira situasi dalam usaha institusi ini membantu golongan memerlukan tersebut.

“Kalau ada maklumat dan aduan, kita akan segera turun bantu jadi, kita mohon orang ramai yang ada maklumat mengenai golongan memerlukan segera hubungi kita,” katanya.

350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF?? HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf