PULAU PINANG, 19 SEPTEMBER 2018 – Bahagian Operasi Agihan Jabatan Agihan Zakat Lembaga Zakat Negeri Kedah hari ini hadir ke Hospital Pulau Pinang bagi menziarahi adik Muhammad Hariz Rafif dan menyerahkan Bantuan Rawatan Sekaligus (Mesin Pernafasan CPAP) kepada warisnya. Turut hadir bersama Ketua Bahagian Pembangunan Asnaf Kapten (B) Abdul Nasir Bin Hasan yang memangku Ketua Jabatan Agihan Zakat.

Menurut Pegawai Kerja Sosial Perubatan Hospital Pulau Pinang, Armiesal Asilati, , adik Muhammad Hariz Rafif, 7 bulan ini menghidapi komplikasi paru-paru dan perlu memakai mesin pernafasan ini selama 24 jam sehari bagi membantunya bernafas dengan baik. Menurutnya lagi, dengan adanya mesin pernafasan mudah alih ini, pesakit yang berasal daripada Langkawi dapat pulang ke rumahnya setelah tinggal di hospital sejak lahir lagi pada bulan februari yang lalu.

Ibu pesakit, Farah melahirkan rasa bersyukur atas bantuan yang diberikan oleh LZNK. Beliau berkata, kini boleh menarik nafas lega kerana bantuan yang diberikan ini amat bermakna baginya kerana kesempitan hidup menjadikan beliau tidak mampu mendapatkan mesin pernafasan ini untuk anaknya. Beliau juga menzahirkan jutaan terima kasih kepada pembayar-pembayar zakat kerana baginya hasil zakat inilah yang membantunya pada hari ini.

Terdahulu, Kapten (B) Abdul Nasir telah menyerahkan bantuan rawatan sekaligus ini dengan harapan waris pesakit dapat bersabar dan tidak berputus asa bagi menjaga anaknya yang diuji dengan kesakitan.

350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF?? HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf