KUALA MUDA, 15 OKTOBER 2018 – Tugas pengagihan bantuan pakaian seragam sekolah bagi tahun 2019 yang dilakukan oleh Pejabat Zakat Daerah Kuala Muda telah selesai diagihkan ke setiap Sekolah Kebangsaan dalam Daerah Sik.

Sebanyak 23 buah sekolah kebangsaan telah terpilih bagi menerima bantuan tersebut dimana setiap sekolah akan dibekalkan dengan 100 pasang pakaian seragam baru untuk diagihkan kepada 50 orang pelajar yang terdiri daripada keluarga asnaf miskin.

Dengan itu, bermula tahun 2019, pihak Lembaga Zakat Negeri Kedah telah meluluskan peruntukan bagi Bantuan Pakaian Seragam Sekolah kepada semua sekolah kebangsaan yang terpilih. Bantuan seperti ini diperluaskan agihannya dimana sebelum ini bantuan tersebut hanya diagihkan kepada sekolah di Daerah Kuala Muda dan Kota Setar sahaja manakala daerah-daerah lain menerima bantuan berbentuk kewangan tahunan.

Bagi Daerah Kuala Muda, tenaga kerja di Pusat Kemahiran Jahitan Lembaga Zakat Negeri Kedah yang juga turut terdiri daripada keluarga asnaf telah membantu dalam mengusahakan penambahan produk pakaian seragam sekolah untuk diagihkan kepada seluruh sekolah di setiap daerah dalam Negeri Kedah Darul Aman.

Sebanyak dua buah Pusat Kemahiran Jahitan dibiayai sepenuhnya oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah yang bertempat di Kuala Muda dan juga Kota Setar mempunyai asnaf yang berkemahiran dalam bidang jahitan. Seterusnya, hasil tangan mereka akan dibayar oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah.

Jelaslah bahawa, bantuan ini dilihat sebagai usaha yang berbentuk ‘serampang dua mata’ dimana pihak Lembaga Zakat Negeri Kedah berusaha terus membantu keluarga pelajar asnaf mendapatkan pakaian seragam sekolah disamping memberi sumber pendapatan kepada asnaf yang bekerja.

Dalam pada itu, Pusat Kemahiran Jahitan Kuala Muda akan membekalkan pakaian seragam sekolah kepada sekolah di 6 buah daerah terpilih iaitu Kuala Muda, Yan, Kulim, Bandar Baharu, Baling dan Sik manakala yang selebihnya akan dibekalkan oleh Pusat Kemahiran Jahitan Kota Setar. Sehingga hari ini, pengagihan pakaian seragam telah selesai diagihakan ke daerah Kulim, Bandar Baharu dan yang terbaru ke Daerah Sik.

350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF?? HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf