BALING, 17 JANUARI 2019 – Ketabahan dan kecekalan seorang kanak2 istimewa dari Sekolah Kebangsaan Ulu Tawar membuatkan pihak pejabat zakat daerah Baling terpanggil untuk melihat sendiri keadaan beliau.

Nur Amni Qaleesya Mohd Shahrom, 10 tahun dari Kampung Badang Karangan, Mukim Bakai cacat pada kedua-dua belah kaki dan hanya mempunyai separuh tulang belakang sejak dilahirkan.

Anak kedua kepada pasangan Mohd Shahrom Saad, 38 tahun dan Nor Azlina Abdul Halim, 38 tahun itu dilahirkan cacat apabila kedua-dua kakinya membengkok dan terpaksa menggunakan tangan untuk berjalan di rumah.

Menurut Mohd Shahrom, anaknya dilahirkan tidak sempurna seperti kanak-kanak normal lain dan menggunakan tangan untuk bergerak dan jika di sekolah anaknya menggunakan kerusi roda dengan bantuan rakan-rakan dan guru di sekolah.

Selain itu keadaan menjadi lebih memilukan apabila isteri Shahrom juga turut mengalami masalah kesihatan kecing manis, darah tinggi dan serangan angin ahmar sejak setahun yang lalu.

Rentetan daripada kisah tersebut, wakil pejabat zakat daerah Baling tampil untuk menghulurkan bantuan kepada keluarga Nur Amni berupa set makanan asas.

Dalam pada itu, wakil PZD Baling juga berkesempatan melihat sendiri keadaan Nur Amni yang disifatkan seorang pelajar yang aktif dan paling ceria sekali di Sekolah Kebangsaan Ulu Tawar itu.

Tambah Mohd Shahrom, beliau ingin memohon bantuan daripada pihak zakat untuk memiliki sebuah kerusi roda elektronik supaya dapat memberi kemudahan kepada Nur Amni untuk bergerak dengan lebih lancar dan selesa.

350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF?? HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”

Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf