KULIM, 21 NOVEMBER 2018 – Kasih ibu membawa ke syurga. Begitulah sebuah ungkapan mutiara yang dapat dinilai untuk seorang ibu seperti Hosnah Sabu ketika diberi dugaan pada Mac yang lalu, apabila anaknya telah terlibat dalam kemalangan motosikal semasa ingin ke tempat kerja di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Badlishah yang koma sehingga hari ini.
Kini, atas saranan pihak hospital, Hosnah telah membawa pulang anaknya ke rumah untuk diuruskan. Seorang ibu yang tabah ini hanya menguruskan keadaan anaknya itu dengan menggunakan wang pencen beliau di samping pendapatan seorang anaknya yang bekerja.
Menurut Hosnah, setiap bulan anaknya perlu menjalani rawatan susulan di Hospital Pulau Pinang dan Seberang Jaya dengan menggunakan perkhidmatan ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM). Tambah Hosnah lagi, Anaknya tidak mampu makan seperti anak-anak yang lain, anaknya hanya disuapkan susu khas yang berharga RM 70.00 setiap empat jam sehari. Malah, satu tin susu tersebut hanya mampu bertahan selama tiga hari sahaja serta memerlukan kos yang tinggi untuk membelinya.
Di samping mempunyai kasih seorang ibu, si pesakit juga mempunyai seorang isteri yang setia berada di sisi beserta tiga orang anak yang masih bersekolah yang banyak menumpukan perhatian menjadi tulang belakang walaupun dalam keadaan si pesakit tidak sedarkan diri.
Menurut Pegawai Zakat Daerah Kulim, Mohd Khairi Ishak, pihak zakat mendapat berita mengenai nasib yang menimpa keluarga ini adalah melalui masyarakat setempat yang prihatin dan pihak zakat bertindak pantas menziarahi keluarga ini sejurus mendapat berita tentang keadaan si pesakit.
Tambah Khairi lagi, berbekalkan wang zakat yang diamanahkan, pihak zakat akan membantu meringankan beban mereka dan semoga dengan wang zakat yang diterima, keluarga ini akan dapat merasai nikmat dan rahmat pembayar zakat di Negeri Kedah. Selain itu, satu kit bantuan makanan asas turut disalurkan kepada keluarga ini dalam menyatakan rasa simpati pihak zakat terhadap penderitaan mereka.
Pihak zakat berharap agar kita semua mendoakan kesembuhan dan diberi kekuatan kepada pesakit serta seisi keluarganya dalam menjalani kehidupan mereka serta diberi rahmat atas keikhlasan menjaga anak dan suami yang sedang bertarung melawan kesakitan.
350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH
“PEDULI ASNAF?? HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740
“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf