ALOR SETAR, 2 SEPTEMBER 2020 – Kerajaan negeri menaruh harapan yang tinggi agar Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abd Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) terus meneroka peluang-peluang kerjasama bersama agensi-agensi kerajaan dan syarikat-syarikat korporat, demi mendapatkan bantuan penajaan dan pembiayaan pendidikan untuk ditawarkan kepada pelajar pada masa akan datang.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Menandatangani MoU Penajaan Biasiswa Dan Pinjaman antara UniSHAMS, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan Yayasan Islam Negeri Kedah (YINK) di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Paduka Ammar Dato’ Shaikh Mahmood Naim; Naib Censelor UniSHAMS, Prof. Dr. Shamsul Jamili Yeob; Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Syeikh Zakaria Othman dan Pengerusi Yayasan Islam Negeri Kedah (YINK), Dato’ Ir. Phahrolrazi Zawawi.

Sanusi yang juga selaku Pengerusi Lembaga Pengelola UniSHAMS berkata, jaringan kerjasama yang strategik terutamanya dalam menyalurkan bantuan dan pembiayaan pendidikan dilihat mampu untuk membantu UniSHAMS dalam usaha memartabatkan industri pendidikan secara lebih terancang.


Naib Censelor UniSHAMS, Prof. Dr. Shamsul Jamili Yeob semasa menandatangi Memorandum pejanjian tersebut di Wisma Darul Aman.


Syeikh Zakaria (CEO LZNK) semasa menandatangi Memorandum pejanjian tersebut di Wisma Darul Aman.

“Justeru itu, saya berpandangan bahawa peranan agensi kerajaan dan korporat dalam merealisasikan hasrat ini amatlah penting. Bahkan ianya dilihat antara tanggungjawab korporat yang mampu dilaksanakan secara bersama demi ummah sejagat.

“UniSHAMS sebenarnya mempunyai kelebihan tersendiri dan pasaran yang kukuh melalui penawaran pengajian Islam seperti Syariah, Usuluddin dan Bahasa Arab.

“Saya melihat Memorandum Persefahaman yang bakal dijalinkan ini merupakan antara kaedah terbaik kerjasama dalam usaha menyokong pembangunan UniSHAMS sebagai sebuah Institusi Pendidikan Tinggi Islam milikan penuh Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman,” katanya.

Majlis menandatangani MoU tersebut telah disempurnakan oleh Naib Censelor UniSHAMS, Ketua Pegawai Eksekutif LZNK dan Yayasan Islam diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya.

Dalam pada itu, Sanusi juga berkeyakinan bahawa pakej penawaran program akademik yang komprehensif serta digabungkan dengan kemudahan pembiayaan pendidikan ini, akan menjadi daya penarik dan sekali gus mampu menarik minat pelajar untuk terus memilih UniSHAMS khususnya dalam program-program yang ditawarkan pembiayaan seperti Diploma, Ijazah Sarjana Muda Sepenuh Masa, Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Ijazah Sarjana Muda Pembedahan.


CEO Yayasan Islam Negeri Kedah (YINK) semasa menandatangi Memorandum pejanjian tersebut di Wisma Darul Aman.

Disunting Oleh : Unit Media Lembaga Zakat Negeri Kedah


350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF??

HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf”