ALOR SETAR, 31 DISEMBER 2021 – Pondok warga emaskeempatLembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di Kedah akan mula dibina di Kampung Sungai Mati, mukim Lepai, di sini, pada tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Syeikh Zakaria Othman berkata, pihaknya memperuntukkan kos sebanyak RM700,000 bagi membina pondok warga emas di tanah wakaf berhampiran Kompleks Pendidikan Islam Darul Hidayah itu.

Zakaria menjelaskan, pondok warga emas tersebut akan dilengkapi pelbagai kemudahan dan akan menampung kapisiti 30 penghuni lelaki dan wanita warga emas terutama fakir miskin.

“Pihak kontraktor telah dilantik untuk melakukan kerja pembinaan pondok warga emas berkenaan yang akan bermula pada bila-bila masa sahaja pada 2022 dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh setahun.

“Sebuah jambatan akan dibina bagi menghubungkan Kompleks Pendidikan Islam Darul Hidayah dengan pondok warga emas baharu tersebut,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tapak Pondok Warga Emas Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di Kompleks Pendidikan Islam Darul Hidayah, di sini, pada Jumaat.

Hadir sama, Mufti Kedah merangkap Ahli Lembaga Zakat Negeri Kedah, Datuk Paduka Syeikh Fadzil Awang dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), YB. Ahmad Tarmizi Sulaiman.

Katanya, pondok warga emas itu merupakan pondok keempat di bawah LZNK selepas Pondok Jeneri (Tuan Guru Haji Zakaria), Pondok Lanai (Tuan Guru Omar Zuhdi) dan Pondok Datuk Muhammad Baderudin Ahmad, Akar Peluru.

Zakaria memberitahu, inisiatif tersebut diambil bagi memberi peluang kepada warga emas yang berkemampuan menguruskan diri untuk menghabiskan kehidupan mereka di pondok berkenaan.


Mufti Kedah, Datuk Paduka Syeikh Fadzil Awang (tengah) menyerahkan ‘mock cheque’ agihan pengurusan dan pentadbiran Pondok Kedah kepada Mudir Kompleks Pendidikan Islam Darul Hidayah, Johari Morad (kiri) sambil disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Syeikh Zakaria Othman (kanan) pada Majlis Pecah Tapak Pondok Warga Emas LZNK di Kompleks Pendidikan Islam Darul Hidayah, pada Jumaat.

Mudirnya, Johari Morad berkata, Kompleks Pendidikan Islam Darul Hidayah yang menempatkan pelajar pelbagai peringkat umur dari tadika hingga menengah ini berdaftar sebagai sekolah agama rakyat di bawah Majlis Agama Islam Negeri Kedah.

Katanya, kompleks pendidikan yang memiliki 38 tenaga pengajar dan ratusan pelajar mendapat peruntukan daripada LZNK sementara bantuan dari segi pembangunan adalah daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Disunting Oleh : Unit Penerangan, Bahagian Komunikasi Strategik


350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF??

HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf”