ALOR SETAR, 28 DISEMBER 2021 – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menjangkakan kutipan zakat di negeri itu mampu mencapai sasaran RM244 juta sebelum tahun 2021 berakhir.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LZNK, Datuk Syeikh Zakaria Othman berkata, masih berbaki tiga hari untuk pihaknya menggerakkan usaha bagi memperolehi RM29 juta lagi bagi mencapai sasaran itu.

“Ia bukan sesuatu yang mustahil kerana berdasarkan kutipan LZNK pernah merekodkan RM40 juta pada hari terakhir sebelum tahun berakhir.

“Saya yakin sasaran tahun ini boleh dicapai biarpun ada pihak masih terkesan akibat pandemik Covid-19. Kutipan zakat pada tahun lepas adalah RM224 juta, di mana tahun ini sasaran dengan kenaikan sebanyak RM20 juta, disebabkan trend kutipan zakat yang tinggi daripada zakat perniagaan yang menyokong lonjakan kutipan,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penyerahan zakat perniagaan oleh syarikat korporat di Menara Zakat di sini pada Isnin.

Hadir sama, Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang merangkap Ahli Lembaga Zakat Negeri Kedah.

Mengulas lanjut, Syeikh Zakaria berkata, setakat Isnin, kutipan zakat yang direkodkan adalah sebanyak RM215 juta, manakala agihan kepada golongan sasar mencecah RM199 juta.

“Kami tidak meletakkan sasaran yang tinggi disebabkan negara masih berada dalam tahun ketiga pandemik Covid-19. Kesannya tetap ada biarpun tidak ketara.

“Ada beberapa syarikat yang pertama kali bayar zakat di Kedah, saya percaya mereka memilih negeri ini kerana skim agihan yang berimpak tinggi dan berinovasi menarik minat pembayar zakat baharu dengan nilai yang besar,” katanya.

Menurutnya, agihan pada tahun ini agak rendah disebabkan beberapa projek besar tidak dapat dilaksanakan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Antara yang tergendala adalah projek pembinaan sekolah, membina dan membaik pulih rumah yang diperuntukkan RM12 juta setahun,” katanya lagi.

Pada majlis berkenaan, sebanyak 17 buah syarikat korporat menyerahkan zakat perniagaan dengan nilai keseluruhan RM8.112 juta.

Antara syarikat terbabit adalah Pharmaniaga Berhad sebanyak RM2 juta, Environment Idaman Sdn Bhd (RM995,515), Bank Kerasama Rakyat (M) Sdn Bhd (RM815,200), Bank Pembangunan Malaysia Bhd (RM730,672) serta Maybank Islamic Berhad sebanyak RM540,571.

Disunting Oleh : Unit Penerangan, Bahagian Komunikasi Strategik


350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF??

HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf”