YAN, 19 OGOS 2021 :- Lebih 1000 buah rumah terjejas di kampung kaki Gunung Jerai selain banyak taman perumahan di sekitar bandar Yan, Gurun dan Merbok dilanda banjir kilat akibat hujan lebat dan fenomena kepala air yang berlaku kira-kira jam 3 petang pada waktu kejadian.
Perasaan hiba apabila melalui lorong-lorong di Titi Hayun Yan melihat kesan bencana kepala air yang berlaku. Lebih menyayat hati apabila mengetahui bahawa ada mangsa yang terkorban dalam bencana itu.
Berikutan kejadian tersebut, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) juga berkesempatan turun padang bagi menyalurkan bantuan meringankan beban buat mereka yang terkesan dengan bencana ini.
Selain LZNK menyalurkan sebanyak 200 kit makanan kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Yan, manakala JAKIM melalui Tabung Musa’adah juga turut menyumbang wang tunai berjumlah RM 10,000 serta dari YaPEIM juga berupa 250 bakul makanan.
Penyerahan tersebut telah disampaikan kepada Pegawai Daerah Yan selaku Pengerusi dan Penyelaras PKOB daerah.
Turut hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman, Pengarah Kanan Bahagian Dakwah JAKIM, Haji Ruslan Said, Pengarah Kanan YaPEIM, Puan Parihah Hasan dan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Lt. Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub.
Sejurus selesai lawatan di Yan, mereka terus ke daerah Kuala Muda bagi menyampaikan bantuan yang sama.

Disunting Oleh : Unit Media Lembaga Zakat Negeri Kedah


350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF??

HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf”