29 November 2017 – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) mengambil pendekatan untuk membawa pembayar zakat mendekati sendiri asnaf yang menerima bantuan zakat melalui jelajah asnaf di daerah Kota Setar.

Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman berkata, sembilan keluarga asnaf di Kampung Kubang Siam, Kampung Kuar Jawa dan Kampung Kubang Jawi dikunjungi dalam program sehari itu.

“Kita melaksanakan aktiviti konvoi demi memberi peluang kepada wakil syarikat korporat yang membuat bayaran zakat melihat sendiri kaedah agihan zakat dilaksanakan kepada asnaf.

“Kadang-kala, timbul persoalan dikalangan orang awam apabila pegawai zakat yang turun padang mencari dan memberi bantuan kepada asnaf,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, kini isu berkenaan sudah tidak timbul apabila pembayar zakat diajak turun padang bersama-sama demi mendekati dan menyelami sendiri kehidupan golongan asnaf ini.

Katanya, selepas sembilan keluarga asnaf pertama itu, pihaknya mensasarkan melakukan jelajah asnaf bersama pembayar zakat melawati 40 keluarga di Baling dan Sik selepas ini.

Terdahulu, Syeikh Zakaria membuat pelepasan peserta konvoi di perkarangan Menara Zakat Kedah, Jalan Teluk Wanjah, di sini.

Turut serta, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Sungai, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Langkawi, SBO Management Services, Faris Tax and Management dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM).

Antara lain, A.S Bina, Adilla Salleh and Associates, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Kedah, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), dan Yayasan Islam Negeri Kedah.

Pendakwah bebas Ustaz Haslin menyerahkan kit bantuan makanan kepada
keluarga asnaf semasa konvoi jelajah asnaf tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif (LZNK) memberikan cenderahati kenangan kepada
imam masjid Kubang Jawi semasa majlis penutup Konvoi Jelajah Asnaf.