30 November 2017 – Amalan dakwah zakat yang dipraktikkan di kalangan masyarakat dalam membantu golongan asnaf di Kedah telah dilaksanakan selama 350 tahun.

Untuk itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Syeikh Zakaria Othman berkata,pihaknya mengambil inisiatif menganjurkan pelbagai aktiviti bersempena Sambutan 350 tahun Seruan Zakat Kedah.

“Usaha berkenaan diambil demi mengenang kembali peruntukkan undang-undang berkaitan pentadbiran zakat yang tercatat dalam Fasal 3, Undang-undang Tembera Dato’ Seri Paduka Tuan 1667.

“Antara aktiviti diadakan, termasuklah bacaan yassin, sukaneka kakitangan LZNK bersama dengan keluarga asnaf, konvoi bikers kedah, cabutan bertuah, buskers, dan lawatan asnaf ke Muzium Padi,” katanya.

Turut hadir, Ahli Lembaga Zakat Kedah, Syeikh Ahmad Faisol Omar dan pendakwah selebrit, PU Alen.

Katanya, sambutan berkenaan diharapkan memberi kesedaran kepada masyarakat kepentingan membayar zakat, yang mana wang berkenaan akan diagihkan kepada asnaf memerlukan di negeri ini.

Malah, katanya, pihaknya ingin menunjukkan bayaran agihan zakat diberikan bukan hanya membantu asnaf, malah turut mengubah hidup dan menjana pendapatan keluarga penerima.

Terdahulu, Ahli Lembaga Zakat Kedah, Datuk Wira Ismail Hamid merasmikan Van Perkhidmatan Gunting Rambut yang dibiayai oleh LZNK dalam usahawan jayadiri.

Dalam program sama, LZNK turut menyediakan perkhidmatan gunting rambut secara percuma kepada tetamu yang hadir.


Syeikh Zakaria turut menggunakan servis yang disediakan Van Perkhidmatan Gunting Rambut.