PADANG TERAP, 11 JUN 2021 :- Jumlah penduduk fakir dan miskin di negeri ini yang menerima bantuan zakat bulanan meningkat seramai 1,336 orang atau 13.94 peratus sejak Januari hingga Jun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Syeikh Zakaria Othman berkata, jumlah keseluruhan penerima zakat di negeri ini setakat bulan ini ialah seramai 13,945 orang.

Menurutnya, pada tahun lalu, jumlah penerima zakat pula seramai 12,609 orang.

“Peningkatan jumlah penerima bantuan zakat tinggi pada tahun ini terjadi berikutan ramai dalam kalangan penduduk di negeri ini hilang pekerjaan disebabkan pelaksanaan Peringkat Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau penggunaan Klinik Bergerak LZNK Untuk Operasi Unit Bergerak Vaksinasi Covid-19 Daerah Padang Terap di Masjid Kampung Perik, Mukim Kurong Hitam, Kuala Nerang di sini, hari ini.

Seramai 50 orang warga emas yang tinggal di sekitar kampung tersebut menerima suntikan vaksin menerusi kemudahan yang disediakan oleh Klinik Bergerak LZNK.

Syeikh Zakaria memberitahu, pihaknya mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM3,588,100 untuk mengagihkan bantuan zakat kepada penerima tersebut.

“Setiap penerima zakat itu akan menerima bantuan antara RM200 hingga RM500 seorang mengikut kelayakan masing-masing,” ujarnya.

Dalam pada itu, permohonan baharu bantuan zakat dijangka terus meningkat selepas kerajaan melaksanakan sekatan pergerakan penuh bermula 1 hingga 14 Jun ini.

“LZNK akan meneliti setiap permohonan baharu bantuan zakat bagi memastikan mereka yang hilang punca pendapatan disebabkan PKP akan menerima bantuan tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, jumlah kutipan zakat di negeri ini sejak Januari hingga Jun ini ialah sebanyak RM109,277,290.05.

“Kutipan zakat pendapatan paling tinggi dicapai dalam tempoh tersebut iaitu sebanyak RM53,946,941.98 dan zakat perniagaan pula RM17,910,642.88,” katanya

Disunting Oleh : Unit Media Lembaga Zakat Negeri Kedah


350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF??

HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf”