ALOR SETAR, 3 SEPTEMBER 2018 – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) berhasrat memperluaskan inisiatif pusat bekalan makanan ke seluruh negeri menjelang 2019 dengan anggaran peruntukan RM11 juta.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syeikh Zakaria Othman berkata, idea yang dicetusnya itu dimulakan sejak November tahun lalu bermula di daerah Baling dan Sik.

“Pada awalnya, dua daerah ini dipilih sebagai projek perintis kerana kadar kemiskinan dua daerah berkenaan antara tertinggi di negeri. Pada pertengahan tahun ini, inisiatif berkenaan diperluaskan kepada daerah Padang Terap.

“LZNK memperuntukkan RM2.5 juta untuk pusat bekalan makanan melibatkan kira-kira 150 masjid untuk tiga daerah terbabit. Antara makanan keperluan asas yang dibekalan termasuk beras, gula, minyak, teh, biskut, sardin, kicap dan sos,” katanya, ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, pusat bekalan itu dipilih dalam kalangan masjid-masjid yang mempunyai tempat yang strategik yang dijadikan pusat bekalan makanan.

“Pada awalnya, di Baling mempunyai 13 pusat bekalan manakala di Sik mempunyai tujuh pusat bekalan.

“Tahun ini, pusat bekalan makanan ini bakal dikembangkan ke 575 masjid di seluruh negeri,” katanya.

Tambah beliau, kewujudan pusat bekalan makanan di masjid-masjid sememangnya sesuatu yang cukup efisien dan memudahkan golongan asnaf.

“Ini kerana, golongan asnaf terutama yang tinggal di kawasan pedalaman tidak perlu lagi pergi ke pejabat zakat yang terletak agak jauh dari kediaman mereka untuk mendapatkan bantuan,” katanya lagi.

Syeikh Zakaria berkata, bahan mentah dikumpulkan diletakkan di masjid dan golongan asnaf boleh datang ke masjid untuk mengambil barang diperlukan pada bila-bila masa sahaja.

“Bagaimanapun, golongan asnaf terbabit perlu menghubungi imam atau pegawai masjid yang diamanahkan untuk mendapatkan kupon bagi mendapatkan bekalan makanan terbabit.

“Kepada syarikat korporat atau individu ingin menyumbang bagi tujuan pembukaan pusat bekalan makanan ini adalah dialu-alukan. Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh hubungi kami ditalian 1-800-88-1740 atau WhatsApp 019-4181740,” katanya.

350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF?? HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf