KOTA SETAR, 8 MEI 2019 – Pejabat Zakat Daerah Kota Setar (PZDKS) bersama Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kota Setar (PKMDKS) baru-baru ini tampil menziarahi beberapa keluarga mangsa ribut di sekitar Kampung Bukit Teriak, Telaga Mas, Alor Setar.

Ziarah bersama ini merupakan hasil daripada Strategi Laut Biru (NBOS) PZDKS dan PKMDKS dalam isu komuniti setempat serta golongan asnaf khususnya dalam isu pengurusan bencana.

Mangsa, Ku Zamri Ku Hashim, 47, menceritakan detik-detik cemas dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 4.00 petang itu, bermula dengan angin kencang hingga menyebabkan ribut membadai sekitar kawasan Telaga Mas sekaligus menerbangkan hampir 30% bumbung di beberapa bahagian rumah beliau.

Menurutnya lagi, kejadian ribut ini merupakan kejadian kali pertama yang pernah berlaku di kawasan berkenaan.

Terdahulu, dalam ziarah tersebut PZDKS dan PKMDKS telah menyerahkan Kit bantuan makanan asas dan wang ihsan kecemasan kepada mangsa yang terjejas.

Ku Zamri mengucapkan ribuan terima kasih kepada LZNK khususnya dan para pembayar zakat amnya serta PKMDKS kerana sentiasa cakna kepada isu masyarakat setempat serta menyeru kepada masyarakat Islam di Negeri Kedah untuk menunaikan Rukun Islam yang ke-3 iaitu mengeluarkan zakat supaya kehidupan asnaf terbela. 

350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF??

HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf”