ALOR SETAR, 24 DISEMBER 2021 :- Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin menasihatkan orang ramai agar mendengar arahan pihak berkuasa untuk segera berpindah sekiranya berlaku bencana.

Baginda bertitah, orang ramai perlu berpindah ke tempat yang selamat bagi menyelamatkan nyawa sehingga keadaan di kawasan kediaman mereka kembali pulih.

“Setiap mangsa banjir perlu mendengar nasihat daripada pihak berkuasa kerana mereka lebih berpengalaman. Jika diarahkan berpindah penduduk yang berhadapan dengan masalah banjir perlu akur dan berpindahlah terutamanya apabila mendapat amaran banjir.

“Kalau kita rasa tidak selamat tempat itu, kita boleh pergi duduk tempat yang diberikan oleh pihak berkuasa sehinggalah keadaan pulih semula,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pelepasan Misi Bantuan Banjir Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) ke Selangor, Kuala Lumpur dan Pahang di pekarangan Stadium Darul Aman, di sini.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Polis Kedah, DCP Datuk Roze Shaari, Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Syeikh Zakaria Othman dan Pengarah APM Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Ag Askandar Ampuan Yaacob.

Tengku Sarafudin Badlishah, bertitah rakyat Malaysia juga perlu saling bantu-membantu antara satu sama lain sekiranya berlaku bencana tanpa mengira berlaku di mana-mana negeri mana.

“Tidak kira ia berlaku di negeri mana, agama atau bangsa (mereka), kita semua (adalah) rakyat Malaysia dan patut tolong antara satu sama lain,” titah baginda.

Sementara itu, Zakaria berkata, sebanyak empat buah treler yang membawa 24,000 kampit beras yang bernilai RM284,000 akan dihantar ke tiga buah negeri yang terjejas banjir.

“Sebanyak 12,000 kampit beras menggunakan dua buah treler dihantar ke Selangor dan sebuah treler membawa 6,000 kampit beras ke Kuala Lumpur dan  sebuah lagi juga mengangkut  6,000 kampit menuju ke Pahang.

Beliau memberitahu, konvoi itu turut disertai klinik bergerak LZNK dilengkapi bekalan ubat-ubatan serta peralatan pemeriksaan kesihatan yang  diuruskan oleh kakitangan perubatan Kedah Medical Centre (KMC).

“Diharapkan bantuan beras serta klinik bergerak LZNK akan membantu meringankan beban pihak berkuasa di negeri berkenaan dan diharap  dapat disalurkan  bantuan  itu segera kepada mangsa banjir,” ujarnya.

Disunting Oleh : Unit Penerangan, Bahagian Komunikasi Strategik


350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF??

HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf”