ALOR SETAR, 26 MEI 2020 – “Inisiatif LZNK dah viral Tuan Syeikh di media sosial”, mesej seorang teman.

Selepas tersebar “copywriting” Pn Mazlina Kamaruddin, CEO Ayam Bismi dan berita Sinar Harian berkenaan dengan pelancaran logo Sahabat Zakat Kedah, telefon saya dihujani dengan mesej daripada rakan-rakan.

Ada yang mengucakan tahniah kepada LZNK, ada yang memberikan cadangan penambahbaikan dan ada yang bertanya bagaimana lahirnya idea Sahabat Zakat Kedah (SZK) ini?

Untuk makluman sahabat-sahabat, Logo Sahabat Zakat Kedah (SZK) bukannya dicipta untuk menggantikan logo halal. Tetapi logo ini dilancarkan sebagai tanda sokongan dan penghargaan LZNK kepada para pembayar zakat.

Dalam memperkasa agenda ekonomi umat Islam, hubungan antara pembayar dan penerima amat rapat. Jika seseorang peniaga muslim yang konsisten menunaikan zakat itu beroleh keuntungan dalam perniagaan mereka, maka secara teori dominonya jumlah zakat yang dibayar juga akan turut meningkat.

Di dalam pasaran ekonomi, peniaga yang menunaikan zakat terpaksa bersaing dengan peniaga yang tidak menunaikan zakat sama ada dalam kalangan peniaga Islam atau sebaliknya.

Kerana itu, logo Sahabat Zakat Kedah (SZK) ini dilancarkan bagi tujuan memberi pilihan kepada pembeli Muslim untuk memilih di antara produk yang dizakatkan ataupun yang tidak dizakatkan.

Sekurang-kurangnya ia boleh memberi panduan kepada para pengguna untuk memilih barang yang diyakini bahawa pemiliknya merupakan seorang yang taat pada agama dan menunaikan zakat daripada harta kekayaan yang dimilikinya.

Selain itu juga, dalam konteks perniagaan, hanya perniagaan yang patuh syariah atau yang halal sahaja boleh mengeluarkan zakat perniagaan. Berapa ramai perniagaan yang menjalankan perniagaan yang tidak patuh syariah sebelum ini dan ingin membayar zakat perniagaan kepada LZNK, namun atas nasihat Sahibus Samahah Mufti Negeri Kedah Darul Aman, perkara tersebut terpaksa ditolak. Hal demikian kerana, konsep zakat itu sendiri adalah untuk menyucikan harta dan harta yang hendak disucikan tersebut mestilah harta yang halal dan diniagakan oleh orang Islam.

Bahkan kita sedia maklum, banyak produk yang berada di pasaran yang menggunakan logo cap masjid, cap haji, cap ahmad, cap itu dan ini atas nama orang Islam yang pada hakikatnya bukan pun 100% milik umat Islam sekalipun di produk mereka terpampang logo halal.

Bagi aktivis Buy Muslim First (BMF), ada yang mengucapkan tahniah kerana agenda logo Sahabat Zakat Kedah (SZK) juga menyokong agenda mereka.

Saya ingin nyatakan bahawa, objektif LZNK bukan semata untuk menyokong agenda BMF, bahkan lebih daripada itu adalah LZNK menyokong peniaga Islam yang mana mereka berniaga dan dalam pada masa yang sama mereka menunaikan zakat tanda ketaatan mereka pada Allah.

Zaman sekarang ini tidak pelik jika kita lihat ada muslim yang rancak berniaga, beroleh keuntungan berlipat ganda tetapi mereka masih enggan menunaikan zakat. Sehingga ada juga yang berpendapat bahawa pengeluaran zakat ini akan merugikan perniagaan mereka seolah-olah tidak yakin dengan janji Allah SWT.

Percayalah, sesiapa sahaja Muslim yang berniaga dan seterusnya menunaikan zakat, kitaran ekonomi itu akhirnya akan berputar semula dan memberi manfaat kepada orang Islam di Malaysia.

Kami amat mengalu-alukan kedua belah tangan bagi mendapatkan idea dan buah fikiran serta pandangan untuk mempromosikan usaha LZNK dalam memperkasa agenda pendayaupayaan ekonomi umat Islam di Malaysia.

Sehingga hari ini, pihak LZNK telah pun mengeluarkan sebanyak lebih kurang 130 Sijil Pengesahan Muzakki dan ada antara mereka yang telah pun menggunakan logo Sahabat Zakat Kedah di produk yang dikeluarkan. Diharapkan dengan penggunaan logo ini akan dapat membantu meyakinkan orang ramai terhadap produk masing-masing.

Jika tahun lepas, jumlah pembayaran zakat perniagaan adalah RM41 juta dan sebahagian besarnya adalah daripada syarikat korporat dan GLC. Tidak mustahil jika kempen ini berjalan lancar, kutipan zakat perniagaan juga akan semakin meningkat.

Mana mungkin berbillion-billion putaran ekonomi dalam pelbagai sektor di kalangan peniaga muslim di Negeri Kedah, hanya sebanyak itu sahaja yang telah dizakatkan.

Berniaga kecil-kecilan, berniaga sederhana, berniaga besar-besaran jika mendapat keuntungan tahunan melebihi nisab maka disana tetap diwajibkan ke atas mereka untuk mentaksir dan menunaikan zakat perniagaan mereka.

Ini kerana, zakat merupakan salah satu sistem ciptaan Allah SWT untuk memastikan kitaran ekonomi umat Islam daripada golongan kaya untuk kembali membantu golongan miskin.

Sudah pasti barang siapa yang membantu memperkukuh kitaran ini juga akan diberkati perniagaannya oleh Allah SWT.

Disunting Oleh : Unit Media Lembaga Zakat Negeri Kedah


350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF??

HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf”