ALOR SETAR, 19 MEI 2020 – Kebawah DYMM Tuanku Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah berkenan menunaikan bayaran zakat fitrah bagi tahun 1441 H/ 2020M.

Pembayaran zakat tersebut diadakan dalam satu majlis ringkas di Pejabat Kebawah DYMM Tuanku Sultan Kedah di Wisma Darul Aman.

Tuanku Sultan berkenan menunaikan kewajipan zakat fitrah kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Syeikh Zakaria Othman.

Pada waktu yang sama, Tuanku Sultan juga memperkenan membuat bayaran zakat pendapatan Baginda secara potongan gaji bulanan.

Tuanku Sultan turut menitahkan supaya semua rakyat Kedah yang bekerja dan mempunyai pendapatan bulanan untuk membuat bayaran zakat secara potongan gaji bulanan bagi memudahkan urusan setiap tahun.

Sementara itu, menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi, Tuanku Sultan dan Kebawah DYMM Tuanku Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Binti Almarhum Tengku Ariff turut mengingatkan rakyat jelata agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan dalam tempoh PKPB.

Tuanku Sultan dan Tuanku Sultanah memahami perasaan dan kesukaran rakyat jelata yang terpaksa beraya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) memandangkan wabak COVID-19 masih belum berakhir.

Baginda meminta rakyat jelata untuk menjaga diri dan terus mengutamakan aspek kebersihan dan keselamatan seperti penjarakan sosial, menggunakan hand sanitizer dan face mask sekiranya berkunjung semasa menyambut Hari Raya Aidilfitri kelak.

Bagi anak-anak Kedah yang berada di perantauan, Tuanku Sultan dan Tuanku Sultanah menzahirkan rasa simpati, kerana tidak dapat pulang ke kampung untuk beraya bersama ahli keluarga dan meminta mereka bersabar demi kebaikan semua pihak.

Dalam pada itu, Tuanku Sultan dan Tuanku Sultanah menitahkan ucapan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor di atas pelantikan beliau sebagai Menteri Besar Kedah Ke-14, semalam.

Tuanku Sultan dan Tuanku Sultanah berharap, Yang Amat Berhormat Menteri Besar dapat menjalankan tugasnya dengan penuh dedikasi dan mengutamakan rakyat jelata serta memastikan kesejahteraan Negeri Kedah Darul Aman.

Titah penghargaan juga dizahirkan kepada Yang Berhormat Dato’ Seri Utama Mukhriz Tun Mahathir di atas jasa dan sumbangan beliau sepanjang mengemudi Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman.

Dato’ Paduka Mufti Negeri Kedah membacakan doa seusai Sultan Kedah membuat pembayaran Zakat Fitrah dan pendapatan kepada LZNK

Disunting Oleh : Unit Media Lembaga Zakat Negeri Kedah


350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF??

HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf”