ALOR SETAR, 29 APRIL 2021 :- Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah berkenan menyempurnakan majlis kurniaan juadah berbuka puasa untuk diagihkan kepada masjid terpilih sekitar Kedah.

Kurniaan itu bersempena sambutan hari keputeraan sebenar baginda pada Jumaat, 30 April 2021.

“Baginda dan keluarga diraja telah berkenan untuk mengagihkan juadah berbuka puasa kepada lapan buah masjid, antaranya Masjid Sultan Badlishah di Kulim, Masjid Sultan Sallehuddin di Pendang dan Masjid Tengku Sarafudin di Padang Terap,” kata kenyataan yang dikeluarkan Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Tuanku Sultan Kedah pada Khamis.

Menurut kenyataan itu, agihan tersebut akan diserahkan melalui Majlis Agama Islam Negeri Kedah.

Pada majlis kurniaan tersebut, baginda berkenan menyempurnakan simbolik kurniaan kepada lapan wakil penerima.

Pada majlis sama, Sultan Sallehuddin berkenan menyampaikan kurniaan agihan zakat fitrah kepada tiga orang asnaf terpilih yang terdiri daripada wakil penerima bantuan kewangan bulanan fakir dan miskin, bantuan saudara baru (Muallaf) dan bantuan guru agama kampung.

Dalam Majlis yang sama juga, Baginda turut berkenan menyempurnakan pelancaran logo baharu Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dalam usaha menjenamakan semula imej LZNK supaya lebih bercirikan korporat dan menyerlah sebagai institusi kewangan Islam berwibawa.

Turut berangkat, Tunku Laksamana Kedah, Datuk Seri DiRaja Tunku Shazuddin Ariff Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Paduka Ammar Shaikh Mahmood Naim dan Mufti Kedah, Datuk Paduka Syeikh Fadzil Awang.

Disunting Oleh : Unit Media Lembaga Zakat Negeri Kedah


350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF??

HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf”