6 Mei 2017 – Temasya Sukan Sungai 2017 yang diadakan bersempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Kedah ke-89 di kawasan Tanjung Chali disambut penuh meriah pagi tadi.

Ribuan pengunjung membanjiri pesisir sungai Kedah berkenaan bagi menyaksikan acara yang amat dinanti-nantikan semua.

Hampir 30 pasukan yang mengambil bahagian melakukan lintas hormat melalui pentas diraja sebelum gimik perasmian disempurnakan oleh Tuanku Bendahara Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah.

Turut hadir Tunku Temenggong Kedah Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim dan pengelola Temasya Sukan Sungai 2017 Datuk Aminuddin Omar.

 

Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) turut menghantar penyertaan bagi menentang Jabatan Agama Islam Negeri Kedah (JAIK) bagi kategori Institusi Agama.

Keputusan rasmi mengesahkan LZNK meraih tempat ke-2 apabila berjaya mencatat masa 4 minit 59 saat lebih 2 saat daripada JAIK (4 minit 57 saat).

Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Tuan Haji Zakaria Othman hadir menerima wang tunai berjumlah RM1,000 selepas diumumkan LZNK mendapat tempat ke-2.

Tahniah pasukan LZNK.