ALOR SETAR, 26 MAC 2020 :- INDIVIDU yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dianggap berdosa kerana tidak mematuhi arahan pemerintah bagi membendung penularan Covid-19.

Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang berkata, orang ramai wajib mengikut arahan pemerintah (ulul amri) kerana dalam agama Islam sendiri sudah memberi panduan mengenai menjaga kemaslahatan umat.

“Jangan anggap apabila kita melanggar peraturan ini, kita hanya melanggar undang-undang negara. Sebaliknya pelanggaran perintah itu juga sebenarnya adalah satu kesalahan dalam agama, jadi mereka perlu kembali ke pangkal jalan.

“Berdosa sekiranya kita tidak mematuhi arahan PKP yang dibuat demi kesejahteraan ummah. Justeru saya berharap semua pihak dapat patuh serta mengelak daripada mengingkari sebarang arahan pihak berwajib dalam menangani Covid-19 ini,” katanya selepas menghadiri pelancaran aplikasi Asnaf Care Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di Alor Setar, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman.

Sementara itu, Syeikh Fadzil berkata, pihaknya sudah mengeluarkan arahan penangguhan semua aktiviti di masjid termasuk solat Jumaat dilanjutkan sehingga 14 April depan selaras dengan tempoh lanjutan PKP.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan tempoh lanjutan PKP sehingga 14 April ini susulan peningkatan kes positif Covid-19.

Katanya, keputusan pelanjutan itu dimaklumkan lebih awal bagi memberi ruang kepada rakyat untuk membuat persediaan awal dan akan dikaji dari semasa ke semasa.


Dato’ Paduka Syeikh Fadzil Awang semasa sidang media yang diadakan di Menara Zakat Negeri Kedah

Disunting Oleh : Unit Media Lembaga Zakat Negeri Kedah


350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF??

HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf”