ALOR SETAR, 08 DISEMBER 2019 – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) melalui Pejabat Zakat Daerah Kota Setar (PZDKS) telah mengadakan Program Khatan Asnaf 2019 Peringkat Daerah Kota Setar bertempat di Masjid Tunku Abdul Malik, Kariah Alor Binjal, Tajar. Seramai 31 peserta yang terpilih daripada anak-anak asnaf yang melibatkan 6 Kariah Masjid dalam Mukim Tajar iaitu Kariah Alor Binjal, Kariah Kuar, Kariah Jelai , Kariah Gelam, Kariah Tok Keling dan Kariah Alor Semela.

Program ini merupakan program yang julung kalinya diadakan oleh LZNK amnya malahan PZDKS khasnya untuk terus berbakti kepada golongan asnaf. Program yang dianjurkan ini merupakan satu Projek Agihan Balik Zakat kepada asnaf fakir, miskin dan fisabillah.

Program anjuran bersama PZDKS dengan Masjid Tunku Abdul Malik, Alor Binjal turut mendapat kerjasama dari Pejabat Penghulu Mukim Tajar & beberapa kariah masjid berdekatan. Turut bersama menjayakan program ini ialah Sukarelawan Uthman Affan Prihatin & Akasiacare, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Kedah serta Jerlun Bikers.

Program bermula dengan perarakan motosikal berkuasa tinggi oleh Kelab Motorsikal Jerlun Bikers & Era Setar Bikers. Para peserta telah dibawa merasai pengalaman membonceng motorsikal berkuasa tinggi dari Pejabat Penghulu Mukim Tajar ke Masjid Tunku Abdul Malik, Alor Binjal.

Perasmian program telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Agihan dan Pembangunan Asnaf) LZNK, Ridzuan Ahmad yang hadir mewakili Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman.

Gimik Perasmian iaitu semburan air oleh Jabatan Bomba & Penyelamat Negeri Kedah telah menyemarakkan lagi program ini. Tergambar keterujaan diwajah para peserta serta hadirin yang hadir ke program ini.

Program diteruskan lagi dengan acara utama iaitu para peserta dikhatankan oleh skuad perubatan sehingga program tamat.

PZDKS dan wakil Masjid Tunku Abdul Malik turut menyerahkan sumbangan kepada setiap peserta setelah selesai proses khatan dijalankan bagi memberi keceriaan semula selepas merasai sedikit kesakitan khatan tersebut.

Pegawai Zakat Daerah Kota Setar, Burhanuddin Ahmad berkata, “Kami amat berterima kasih kepada semua pihak yang memberikan kerjasama serta bertungkus lumus dalam menjayakan program ini khususnya kepada p Masjid Tunku Abdul Malik, Alor Binjal, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Kedah, Bikers serta pihak NGO yang terlibat”. “Terima kasih juga diucapkan kepada Zakat Kedah serta para pembayar zakat di Negeri Kedah kerana memberi kepercayaan kepada kami untuk melaksanakan program ini”, ujarnya lagi.

Mudahan program sebegini dapat dianjurkan lagi sebagai medium baharu untuk mendekatkan masyarakat dengan institusi masjid khasnya kerana hasrat Ketua Pegawai Eksekutif LZNK untuk menjadikan masjid sebagai ‘one stop centre’ dalam urusan kutipan dan agihan zakat di Negeri Kedah.

Disunting Oleh : Unit Media Lembaga Zakat Negeri Kedah


350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF??

HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf”