KULIM, 30 JULAI 2018 – Kesengsaraan hidup yang ditanggung sebuah keluarga di Taman Mahsuri kini mendapat perhatian Pejabat Zakat Daerah Kulim.

Pegawai Zakat Daerah Kulim, Ustaz Mohd Khairi Ishak berkata lapan beranak terbabit kini hilang sumber pendapatan kerana ketua keluarga Norisam Ghazali, 50 tahun telah diberhentikan kerja.

Menurutnya, bukan sahaja Norisam hilang pekerjaan malah isterinya Haniza Omar, 37 tahun juga hanya mampu terbaring kerana menghadapi pelbagai masalah kesihatan.

“Keluarga ini dulu kita sudah bantu sejak Januari 2014 lagi dengan memberi bantuan barangan makanan setiap blan sehingga kini untuk meringankan beban Norisam.

“Kita prihatin dengan keadaan Norisam yang tak ada sumber pendapatan, isteri yang sedang menderita kanser serviks dan masalah tulang belakang.

“Kita akan membantu keluarga ini meneruskan hidup sementara Norisam mendapatkan pekerjaan lain, tampung kos rawatan isterinya, dan anak-anak dapat meneruskan persekolahan mereka,”katanya.

Menurutnya, pihaknya juga berusaha mengemas kini maklumat mereka dengan segera untuk pemberian bantuan sepatutnya.

“Kita akan cuba dapatkan bantuan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dalam masa terdekat,” katanya.

Tambahnya, orang ramai digalakkan untuk memberikan maklumat berkenaan asnaf di sekitar daerah ini melalui talian aduan asnaf iaitu 019-5732155 supaya bantuan sepatutnya dapat disampaikan.

350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF?? HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf”