KULIM, 10 FEBRUARI 2019 – Keadaan adik Muhammad Kamil Farihin,18 tahun, yang mengalami masalah tulang belakang telah mendapat perhatian Pegawai Zakat Daerah Kulim, Ustaz Mohd Khairi Ishak , untuk turun menziarahi keadaan beliau.

Turut bersama dalam lawatan tersebut Penolong Pegawai Zakat Daerah Kulim, Ustaz Mohd Khalil Mohd Zain serta Penolong Amil Kariah Terat Batu, Ustaz Muhammad Nor Akram.

PZD Kulim menerima maklumat berkaitan keadaan adik Farihin ini daripada Jabatan Kerja Sosial Hospital Pulau Pinang yang memberitahu pihak LZNK bahawa beliau amat memerlukan bantuan kerusi roda khas yang mampu menyokong tulang belakang serta berat badan adik Farihin.

Akibat daripada penyakit yang dihidapi beliau, adik Farihin telah disahkan lumpuh di bahagian pinggang hingga ke kaki oleh pihak Hospital Pulau Pinang. Lebih memilukan, apabila beliau tidak berpeluang untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun lalu berikutan penyakit tersebut.

Keluarga adik Farihin kini tinggal menetap di Kampung Banggol Besi, Terat Batu, Padang Serai dan hanya bergantung pendapatan ketua keluarga mereka, Khailudin Hamid, 56 tahun, sebagai pemandu lori barang sahaja.

Namun begitu, kebelakangan ini, pendapatan yang diperolehi tidak mencukupi untuk menampung kos rawatan adik Farihin telah menimbulkan keresahan keluarga ini.

Menurut Khailudin Hamid, anaknya perlu menjalani rawatan secara berkala di dua buah hospital setiap bulan dari pakar yang berbeza.

Dengan pembelian kerusi roda khas ini diharapkan mampu memberikan keselesaan serta kemudahan kepada mereka untuk menguruskan keperluan rawatan adik Farihin. Namun, dengan pendapatan yang diperolehi beliau pada waktu sekarang, menyukarkan dirinya untuk memenuhi hasrat tersebut.

Memahami masalah yang dihadapi oleh keluarga ini, pihak Pejabat Zakat Daerah Kulim telah meluluskan permohonan bantuan zakat kepada adik Farihin dengan menanggung kos pembelian kerusi roda tersebut yang bernilai RM 2700.00.

Dalam pada itu, Ustaz Mohd Khairi Ishak berkata, “Pihak LZNK sentiasa membuka ruang kepada semua lapisan masyarakat untuk menghulurkan maklumat kepada pihak LZNK berkaitan asnaf yang terdapat di negeri ini untuk disantuni menggunakan wang zakat. Malah, semua asnaf yang ingin memohon bantuan zakat boleh bertemu Penolong Amil dari setiap kariah tempat tinggal mereka untuk melakukan proses permohonan bantuan.

Terdahulu, sebuah kit bantuan makanan telah disalurkan kepada adik Farihin sebagai tanda simpati pihak LZNK terhadap ujian yang dihadapi oleh beliau sekeluarga.

350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF?? HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”

Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf