KUALA MUDA, 03 FEBRUARI 2019 –  Pejabat Zakat Daerah Kuala Muda telah melangsungkan satu Majlis Pentauliahan Penolong Amil dan Bengkel Perancangan Gerak Kerja Agihan bagi tahun 2019.

Majlis yang diadakan di Park Avenue Hotel itu telah dihadiri oleh kira-kira 101 orang penolong amil yang dilantik dari semua 76 buah qaryah masjid.

Majlis yang diadakan ini merupakan satu usaha LZNK bagi memantapkan pengagihan zakat di dalam Negeri Kedah. Majlis ini telah dirasmikan oleh Ustaz Abdul Hadi Abdul Majid, Ketua Bahagian Dakwah dan Penyelidikan, Lembaga Zakat Negeri Kedah.

Dalam ucapan beliau, beliau telah menjelaskan kepada para penolong amil mengenai syarat-syarat keperluan bagi seorang amil yang dilantik.

Penolong amil memegang satu amanah yang berat dalam sama-sama membantu mengurangkan kadar kemiskinan dalam qaryah masing-masing.

Majlis dimulakan dengan taklimat gerak kerja agihan dalam daerah Kuala Muda yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Syazwi Yusof, Penolong Pegawai Bahagian Operasi Agihan dan Pembangunan Asnaf.

Antara isi taklimat adalah berkisar prosedur-prosedur yang diperlukan dalam dokumentasi permohonan zakat.

Selain itu, turut diselitkan mengenai skim-skim bantuan yang disediakan oleh pihak LZNK disamping projek-projek besar yang telah dan akan dijalankan seperti projek ‘Food Bank’ dan Klinik Bergerak.

Majlis kemudian diteruskan dengan slot percambahan idea untuk memantapkan kaedah agihan khususnya di Daerah Kuala Muda.

Slot ini dikendalikan oleh Ustaz Mohamad Firdaus bin Mat Akhir, Penolong Pegawai Bahagian Operasi Dakwah dan Kutipan.

Dalam program tersebut, penolong amil bebas mengutarakan pendapat dalam memastikan kelancaran proses agihan.

Perbincangan dilakukan bagi mendapatkan kata sepakat dalam memastikan gerak kerja berjalan lancar.

Majlis yang berlangsung selama 2 jam tersebut diakhiri dengan penyampaian tauliah kepada para penolong amil yang dilantik. Penolong amil yang dilantik berperanan dalam mengesan dan mencadangkan bantuan yang bersesuaian kepada asnaf yang terdapat didalam qaryah masing-masing.

Asnaf kini hanya perlu berjumpa penolong amil di masjid bagi mendapatkan borang permohonan zakat. Tujuan utama perlaksanaan jawatan penolong amil adalah bagi memastikan tiada lagi asnaf yang terlepas pandang dari menerima zakat.

Pihak LZNK juga menyeru masyarakat agar menyebarluaskan lagi makluman jawatan penolong amil ini disetiap masyarakat. Sesungguhnya institusi masjid merupakan pihak yang paling dekat dengan masyarakat terutamanya dalam mengesan asnaf yang susah.

350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF?? HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”

Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf