18 DISEMBER 2017 – Sebagai manifestasi keakraban hubungan antara Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), satu pertemuan khas bersama Pegawai-Pegawai PDRM telah diadakan di Auditorium Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah (IPK) pagi tadi.

Majlis tersebut dimulakan dengan ucapan perasmian oleh Senior Assistant Komisioner (SAC) Dr. Zainal Abidin Sabtu serta diteruskan dengan ucapan dari Ketua Pegawai Eksekutif (LZNK), Syeikh Zakaria Othman.

Syeikh Zakaria Othman, dalam ucapannya menyatakan objektif pertemuan ini adalah untuk mengimarahkan lagi ikatan silaturrahim demi mencapai matlamat yang telah digariskan.

Justeru itu, Bahagian Agama dan Kaunseling PDRM (BAKA) dilantik sebagai ejen kutipan zakat. Tujuan pelantikan itu adalah untuk membantu bagi memastikan kebajikan kakitangan anggota dan keluarga anggota (PDRM) terbela.

Dalam ucapan yang sama, beliau juga menyeru kepada semua agar terus memberikan sokongan padu kepada (LZNK) bagi mengembalikan persepsi positif masyarakat Zakat Kedah di mata masyarakat.

Turut hadir sama dalam majlis tersebut, Superitendan (SUPT) Mohamad Hisham Mohamad Idris, serta pegawai polis dari IPK Kedah.


Syeikh Zakaria Othman bersama (SAC) Dr. Zainal Abidin Sabtu dan (SUPT) Mohamad Hisham Mohamad Idris.