13 DISEMBER 2017 – Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Kedah dilantik secara sah sebagai ejen kutipan cukai taksiran dan kutipan zakat berkuat kuasa Januari 2018.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Syeikh Zakaria Othman berkata, pelantikan MBAS merupakan projek perintis melibatkan PBT hasil kerjasama dengan Zakat Kedah.

“Untuk permulaan, Zakat Kedah akan melaksanakan kerjasama dengan MBAS itu pada awal tahun depan sebelum diperluaskan ke seluruh Kedah membabitkan semua PBT.

“Kemudian, pihak kami menjangkakan akan meluaskan kerjasama sama dengan PBT lain di negeri ini menjelang pertengahan tahun 2018,” katanya.

Beliau berkata sedemikian selepas Majlis Menandatangani Ejen Kutipan Cukai Taksiran dan Kutipan Zakat antara MBAS dan LZNK di Menara MBAS.

Katanya, melalui usahasama strategik antara Zakat Kedah dengan MBAS dibawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) itu, kita berharap ia membantu melonjakkan jumlah kutipan dari masa ke semasa.

“Untuk itu, kita yakin mampu mencapai sasaran kutipan zakat keseluruhan RM300 juta di negeri ini pada tahun depan,” katanya.

Syeikh Zakaria berkata, sasaran ditetapkan dilihat munasabah dengan temetrai perjanjian melibatkan LZNK dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut.

Kata beliau, pihaknya percaya kerjasama terjalin antara dua pihak mampu menyumbang peningkatan kutipan zakat hampir 100 peratus berbanding hanya RM165 juta diperolehi sekarang.

Zakaria berkata, kini orang ramai boleh menjelaskan segala bayaran cukai ataupun zakat di kaunter PBT berkaitan.

“Kita bukan hanya mampu menjimatkan tenaga kerja, malah memudahkan urusan bayaran zakat. Dengan ini, “katanya.

Beliau berkata, dengan ini, Zakat Kedah akan melatih kakitangan PBT terlibat untuk membimbing orang awam berkaitan kiraan zakat.

Terdahulu, memorandum persefahaman ditandatangani Datuk Bandar Alor Setar, Dato’ Haji Mohd Zohdi Haji Saad mewakili MBAS, manakala LZNK diwakili Syeikh Zakaria Othman.


Dato’ Mohd Zohdi dan Syeikh Zakaria sewaktu menandatangi MOU disaksikan oleh Timbalan KPE Zakat Kedah dan Wakil dari MBAS


Dato’ Mohd Zohdi dan Syeikh Zakaria masing-masing menyerahkan MOU yang telah ditandatangi oleh kedua pihak.


Syeikh Zakaria menyerahkan cenderahati produk asnaf tanda kenangan kepada Dato’ Mohd Zohdi.