ALOR SETAR, 11 FEBRUARI 2021 – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) tidak menghalang mana-mana pihak atau individu perseorangan memberi sumbangan kepada golongan asnaf di negeri ini, namun meminta kegiatan itu tidak mencetuskan polemik kepada pihak lain.

Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman, berkata ini kerana setiap bantuan yang dilakukan adalah untuk menyahut seruan Allah agar berlumba-lumba melakukan kebaikan.

“Disebabkan itu, benda sebegini harus dilihat secara rapi dan menjaga sensitiviti pihak kedua dan ketiga yang berkaitan.

“Di Kedah, LZNK terbuka seluas-luasnya kepada sesiapa sahaja untuk mendapat makluman mengenai sesiapa yang dikategorikan fakir, miskin dan asnaf dan boleh merujuk kita pada bila-bila masa,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Zakaria berkata, pihaknya sentiasa mengambil pendekatan melakukan siasatan terlebih dahulu kerana ia menjadi antara syarat ditetapkan.

Katanya, ramai juga yang menulis di media sosial mengenai siapa pandai mengambil kesempatan atas kemiskinan orang lain, maka siasatan atau tabayun perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan.

“Sesiapa sahaja boleh membantu kita dan salurkan maklumat untuk kita ambil tindakan, dan masyarakat perlu faham bahawa kemiskinan adalah satu putaran.

“Contohnya seseorang itu tidak dapat bantuan bulan lalu, namun dia mungkin termasuk dalam kumpulan miskin pada bulan seterusnya.

“Begitu juga sebaliknya, mungkin hari ini dia miskin tetapi minggu atau bulan kemudiannya dia keluar dari kemiskinan, ia satu gelombang dan tidak selama-lamanya seseorang itu miskin,” katanya.

Zakaria menegaskan, LZNK menggunakan garis kemiskinan mengikut had kifayah sebagai kayu pengukur seseorang itu fakir atau miskin.

Justeru, katanya, orang ramai boleh membuat semakan penerima bantuan di seluruh Kedah melalui sistem Zakat On Touch yang diperkenalkan LZNK sebelum ini..

Disunting Oleh : Unit Media Lembaga Zakat Negeri Kedah


350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF??

HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf”