SIK, 9 APRIL 2019 – Pegawai Zakat Sik, Ustaz Khairul Nizam menasihatkan para penerima bantuan bulanan agar berlapang dada sekiranya selepas bancian semula, ada dikalangan penerima ditamatkan bantuan.

Sebagai tauladan para penerima, pihak PZD Sik berkongsi pengalaman kisah benar yang berlaku ketika bantuan ditamatkan.

Menurut Ustaz Khairul Nizam, ada dikalangan penerima yang secara terangan, memarahi dan mengeluarkan kata-kata kesat apabila bantuan bulanan mereka ditamatkan serta merta.

Malahan, sebilangan mereka mengatakan bahawa pejabat zakat tidak amanah dalam mengagih wang zakat.

Namun begitu, setelah disemak dalam sistem zakat, ada diantara mereka tersebut telah menerima bantuan zakat secara bulanan lebih 5 tahun, dimana setiap tahun bantuan diterima kira-kira RM4800. Sepanjang tempoh 5 tahun, jumlah keseluruhan bantuan diterima ialah RM 24,000.

Beliau berkata, memang benar jika dahulu penerima mempunyai tanggungan bersekolah, maka bantuan diberikan. Tetapi dalam satu tempoh yang lama, apabila tanggungan penerima zakat makin berkurangan atau sudah tiada, serta anak-anak sudah dewasa dan mampu bekerja, maka bantuan zakat akan ditamatkan, Hal demikian kerana bantuan zakat bukanlah bantuan seumur hidup.

Ustaz Khairul berkata demikian selepas majlis bancian semula penerima bantuan bulanan zakat di Masjid Bandar Baru Beris Jaya yang dihadiri seramai 254 penerima bantuan bulanan dari qariah Beris Jaya, Merbau Kudung, Kampung Tupai, Teloi Tua dan Batu 5.

350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF??

HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf”