KULIM, 02 OGOS 2018 – Usianya baru tiga bulan namun Nuraina Maisara terpaksa menerima rawatan kemoterapi selepas disahkan menghidap kanser kelopak mata.

Anak bongsu pasangan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim, Mohd Faisal Haidzir, 38 tahun, dan isteri, Norma Isa, 37 tahun, disahkan menghidap kanser di sebelah mata kirinya selepas sebulan dilahirkan.

Norma berkata, ketika anak bongsu daripada tiga beradik itu lahir pada 19 April lalu, keadaannya sihat dan normal seperti bayi lain.

“Namun selepas sebulan, saya ternampak bahagian kelopak mata kirinya seakan membengkak menyebabkan kami membawanya ke Hospital Kulim.

“Nuraina dimasukkan ke wad kanak-kanak selama dua hari untuk pemeriksaan namun doktor mengarahkan kami pulang selepas gagal mengesahkan penyakit anak saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Serai Wangi, di sini, semalam.

Terdahulu pasangan itu menerima kunjungan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Abdul Razak Muda dan Timbalannya, Mohd Zahar Abdullah serta Ketua BBP Kulim Mohd Yusri Yusoff.

Norma berkata, anaknya kemudian diarah pulang bagi tujuan pemantauan namun matanya masih membengkak sehingga sebesar telur sebelum dia terpaksa dimasukkan ke Hospital Kulim untuk pemeriksaan lanjut.

“Nuraina kemudian dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar pada 12 Jun lalu, sebelum ujian dan pemeriksaan dilakukan mengesahkan dia menghidap kanser kelopak mata.

“Selepas mendapat pengesahan, Nuraina dirujuk ke Hospital Pulau Pinang bagi menjalani rawatan kemoterapi pada 25 Jun dan 17 Julai lalu,” katanya.

Katanya, Nuraina dijadual menjalani satu lagi rawatan kemoterapi selepas proses itu mula menunjukkan perkembangan baik selain anaknya kekal aktif.

Sementara itu, Abdul Razak berkata, pihaknya sentiasa mengambil berat kebajikan anggotanya dan berharap program ziarah itu dapat memberi semangat kepada Mohd Faisal dan isterinya menghadapi dugaan.

Terdahulu, pihak Pejabat Zakat Daerah Kulim turut menyerahkan kit bantuan makanan asas kepada keluarga ini dan dalam masa yang sama bantuan susulan akan disalurkan dalam masa terdekat bagi mengurangkan beban yang ditanggung oleh keluarga tersebut.

350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF?? HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf