ALOR SETAR, 5 FEBRUARI 2020 – Mungkin masih ramai yang tidak menyedari akan fakta bahawa Kedah merupakan negeri pertama di semenanjung Tanah Melayu, yang menyeru rakyatnya menunaikan zakat melalui Undang-Undang Seruan Berzakat di Negeri Kedah.

Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah bertitah, seruan itu bermula sejak tahun 1667 lagi apabila Sultan Dhiauddin Mukarram Shah I telah menitahkan kepada pembesar baginda, Dato’ Seri Paduka Tuan supaya menulis Undang-Undang Negeri Kedah.

Menurut Sultan Sallehuddin, dalam fasal tiga undang-undang tersebut, terkandung akan titah Sultan Dhiauddin kepada seluruh rakyat negeri Kedah yang menyeru kepada perbuatan berkenaan.

“Titah tersebut berbunyi ‘Barang siapa yang berbuat bendang atau huma, maka hendaklah suruh dikeluarkan zakat seperti benar hisab yang diperolehnya itu. Suruh dikeluarkan satu per sepuluh zakatnya itu.

“‘Sekiranya mereka ingkar, maka hendaklah para penghulu mengambil zakat itu menurut seperti hukum Allah Taala’,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika Merasmikan Pusat Bekalan Makanan (Food Bank) Fakir Miskin dan Pelancaran Sambutan Sambutan 350 tahun Seruan Berzakat di Kedah bertempat di Pusat Konvensyen dan Hotel TH dekat sini, hari ini.


KDYMM Tuanku Sultan turut berkenan menyampaikan Replika Check Bantuan FoodBank LZNK kepada Pengerusi Pegawai-Pegawai Masjid Negeri Kedah

Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin turut berangkat ke majlis tersebut.

Hadir sama Menteri Besar, Dato Seri Utama Mukhriz Tun Mahathir; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Paduka Ammar Dato’ Shaikh Mahmood Naim serta Mufti, Dato’ Paduka Syeikh Fadzil Awang.

Sultan Sallehuddin menambah, kini setelah 350 tahun berlalu, proses pemantapan dan penambah baikan tadbir urus yang dilaksanakan di Kedah telah berjaya mencapai tahap membanggakan hingga ke peringkat antarabangsa.

“Melalui platform Akademi Zakat Antarabangsa Kedah (KIZA), Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) telah berjaya berkongsi ilmu kepada seluruh agensi dan institusi zakat di segenap peringkat.

“Pada Disember tahun lalu, LZNK telah menerima kunjungan dari Sokoto State Zakat and Endowment Commision, Nigeria sementara hari ini pula, kita menerima satu lagi kunjungan daripada delegasi House Of Zakat and Waqf Uganda yang datang untuk mempelajari pengurusan zakat di negeri ini, bagi dilaksanakan di negara mereka,” titah baginda.


KDYMM Tuanku Sultan telah berkenan untuk sesi bergambar bersama Delegasi daripada House Of Zakat and Waqf Uganda

Baginda dalam pada itu turut menzahirkan rasa sukacita kerana pengurusan LZNK telah memulakan usaha untuk mendigitalkan zakat di negeri ini dengan pelaksanaan aplikasi ‘Zakat On Touch’ (ZOT).

“Melalui aplikasi itu, masyarakat umum boleh mengetahui jumlah kutipan dan agihan zakat di Kedah secara masa nyata (real-time) dan kepada siapa wang zakat tersebut diagihkan secara telus.

“Langkah ini selari dengan visi LZNK untuk menjadi institusi kewangan sosial Islam yang unggul dan bertaraf dunia,” titah baginda.

 
KDYMM Tuanku Sultan menerima replika check pembayaran zakat oleh syarikat korporat (E-Idaman Sdn.Bhd)


KDYMM Tuanku Sultan menyampaikan watikah perlantikan Penolong Amil Zakat kepada salah seorang wakil Penolong Amil Karyah Kota Setar

Disunting Oleh : Unit Media Lembaga Zakat Negeri Kedah


350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF??

HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf”