ALOR SETAR,  04 FEBRUARI 2020 – Memanfaatkan lebih 17,280 buah keluarga sebulan, Program Pusat Bekalan Makanan Fakir dan Miskin atau Food Bank Lembaga Zakat Negeri Kedah terus memartabatkan institusi masjid dan zakat di negeri ini.

Program terbaharu ini antara proses pemantapan dan penambah baik urus tadbir LZNK ke peringkat antarabangsa sejak seruan berzakat di Kedah bermula 350 tahun lalu.

Pusat Bekalan Makanan LZNK diwujudkan dengan peruntukan kos sebanyak RM10.5 juta setahun bagi memastikan tiada lagi rakyat Kedah yang kelaparan atau terputus bekalan makanan.


Keberangkatan tiba KDYMM Tuanku Sultan Negeri Kedah ke TH Hotel Alor Setar

Ia sekaligus dapat menangkis tomahan negatif masyarakat terhadap insitusi masjid dan zakat.

Pelancaran program tersebut disempurnakan hari ini oleh Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah sempena 350 tahun seruan berzakat di negeri Kedah.

Kedah merupakan negeri pertama, di Semenanjung Tanah Melayu, yang menyeru rakyatnya menunaikan zakat, melalui Undang-Undang Seruan Berzakat sejak tahun 1667.

Dalam pada itu, Baginda turut menzahirkan rasa bangga dengan usaha pendigitalan operasi kutipan dan agihan zakat negeri dengan melaksanakan Sistem Aplikasi Zakat On Touch (ZOT) yang kini boleh dimuat turun oleh semua masyarakat awam bagi mengetahui dengan telus jumlah kutipan dan agihan zakat secara “real-time” dan ke mana wang zakat tersebut telah diagihkan.


YB. Dato’ Paduka Pengerusi LZNK memberi penerangan mengenai Sistem
‘Zakat On Touch’ (ZOT) kehadapan KDYMM Tuanku Sultan Kedah

Penolong amil juga turut dilantik untuk melancarkan lagi program foodbank LZNK di semua 576 masjid seluruh negeri Kedah.

Program foodbank LZNK juga telah mendapat Anugerah Zakat Kebangsaan 2019 Kategori Inovasi Agihan Zakat Terbaik  dan Anugerah Zakat Kebangsaan 2019 Kategori Asnaf Usahawan (Khas).

Prestasi cemerlang itu menyebabkan usaha LZNK mendapat perhatian sebagai contoh daripada negara luar iaitu Sokoto State Zakat and Endowment Commision Nigeria dan House of Zakat and Wagf Uganda.


KDYMM Tuanku Sultan ketika sesi lawatan ke pameran Booth LZNK

Terdahulu, berangkat pada majlis tersebut Raja Muda Tengku Sarafudin Badlishah ibni Sultan Sallehudin.

Hadir bersama Pengerusi LZNK yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Paduka Ammar bin Dato’ Shaikh Mahmood Naim.

KDYMM Tuanku Sultan Kedah berkenan menyampaikan Sijil Pentaulihan Penolong Amil LZNK

Disunting Oleh : Unit Media Lembaga Zakat Negeri Kedah


350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF??

HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf”