ALOR SETAR, 08 DISEMBER 2019 – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) malam tadi melancarkan applikasi ‘Zakat On Touch’ (ZOT) mengandungi pelbagai informasi terkini mengenai pengurusan zakat di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LZNK, Syeikh Zakaria Othman berkata, pengenalan applikasi tersebut diharap dapat terus menambah keyakinan masyarakat terhadap pihaknya dalam menguruskan zakat di negeri ini.

“Menariknya menerusi applikasi ini, orang ramai memiliki akses untuk melihat data-data kita secara masa nyata (real-time). Mereka boleh lihat maklumat masjid-masjid di seluruh kawasan terutamanya mengenai berapa peruntukan zakat telah diberi serta apa jenis bantuan disalurkan.

“Beberapa aplikasi tambahan turut dimasukkan antaranya Jom Cari Asnaf, ‘Food Bank’ serta Jom Zakat. Selain itu terdapat juga ‘pemetaan zakat’ di mana orang ramai boleh mengetahui lokasi Ibu Pejabat LZNK, pejabat zakat daerah, masjid serta institusi kutipan zakat fitrah,” katanya.

Beliau ditemui pemberita dalam Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Bersama Syarikat-Syarikat Korporat dan Pelancaran Sistem Zakat On Touch (ZOT) di Hotel TH di sini, hari ini.

Hadir sama Mufti Kedah, Dato’ Paduka Syeikh Fadzil Awang serta Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), Dato’ Abdul Rahman Abdullah serta Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Pembiayaan Zakat dan Wakaf Wilayah Sokoto, Nigeria, Muhammad Lawal Maidoki.

Mengulas mengenai applikasi Jom Cari Asnaf yang merupakan sebahagian daripada ZOT, Syeikh Zakaria berkata ia merupakan saluran tambahan kepada masyarakat untuk membuat laporan berkenaan golongan miskin, terbiar, sakit, gelandangan serta mereka yang dirasakan perlu diberi perhatian oleh LZNK.

“Setiap pelapor perlu mendaftar terlebih dulu sebelum menghantar laporan, bukti bergambar serta lokasi asnaf. Langkah itu diharap memudahkan penolong amil serta pihak LZNK membuat siasatan sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

“Selain itu applikasi ‘Food Bank’ bertujuan memudahkan pihak masjid dan LZNK menguruskan inventori bank makanan itu yang ditempatkan di masjid-masjid seluruh Kedah. Applikasi Jom Zakat pula merupakan medium terkini memudahkan mana-mana individu menunaikan kewajipan zakat menggunakan telefon pintar dengan mereka turut boleh menyemak penyata bayaran zakat,” katanya.

Disunting Oleh : Unit Media Lembaga Zakat Negeri Kedah


350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF??

HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf”