ALOR SETAR, 08 DISEMBER 2019 – Baru sebulan ditubuhkan, Akademi Zakat Antarabangsa Kedah (KIZA) kini telah pun mendapat perhatian dunia menerusi kehadiran agensi kutipan dan agihan zakat dari beberapa negara untuk mempelajari selok-belok pengurusan zakat di negeri ini yang dianggap cukup efisien untuk dilaksanakan bagi membantu golongan memerlukan.

Malah menurut Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman, pihaknya telah dihubungi oleh Bank Pembangunan Islam (IsDB) yang beribu pejabat di Jeddah, Arab Saudi bagi membincangkan kerjasama dua hala dalam melatih para delegasi dari agensi zakat di negara-negara membangun.

“IsDB ini tujuan utamanya adalah membangunkan negara-negara Islam. Bila mereka tahu kita ada akademi sebegini, yang ketika ini boleh dikatakan tiada di mana-mana tempat lain, mereka nak bincang untuk keluarkan dana bagi bantu kita menolong negara-negara membangun memperkukuhkan institusi zakat masing-masing.

“Mereka nampak potensi yang ada pada KIZA dan kami di LZNK amat mengalu-alukannya,” katanya ketika ditemui media dalam Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Bersama Syarikat-Syarikat Korporat dan Pelancaran Sistem Zakat On Touch (ZOT) di Hotel TH di sini, malam tadi.

Hadir sama Mufti Kedah, Dato’ Paduka Syeikh Fadzil Awang serta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), Dato’ Abdul Rahman Abdullah serta Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Pembiayaan Zakat dan Wakaf Wilayah Sokoto, Nigeria, Muhammad Lawal Maidoki.

Syeikh Zakaria menambah, setakat ini beberapa agensi zakat negara luar telah hadir ke negeri ini bagi mempelajari perkara terlibat antaranya sistem kutipan, agihan, audit dan teknologi maklumat dipraktikkan di sini.

“Sebelum ini KIZA menerima kehadiran delegasi dari Uganda serta Ghana dan ketika ini, masih ada peserta dari Nigeria bersama kita. Akan datang, kami akan menerima kedatangan delegasi dari Kerala, India dan dalam masa sama permohonan telah diterima dari Senegal serta Tanzania.

“Kesemua delegasi itu hadir dengan perbelanjaan sendiri dalam tempoh diperlukan dengan kita akan mengeluarkan sijil sebagai tanda mereka telah mengikuti modul latihan serta pembelajaran disediakan,” katanya.

Ditanya keistimewaan yang ada di Kedah hingga menjadi destinasi pilihan kedatangan pihak luar, Syeikh Zakaria berkata Kedah merupakan antara tiga negeri selain Pulau Pinang dan Selangor yang menguruskan kutipan dan agihan zakat.

“Kalau di negeri-negeri lain, kutipan memang dilakukan oleh pihak zakat tetapi agihan dilaksanakan Baitulmal.

“Selain itu kita memiliki kuasa penuh atau mutlak di bawah Sultan Kedah dengan pengurusan yang cukup telus di mana semua data masa nyata (real-time) dapat diberikan kepada sesiapa juga tanpa sebarang masalah,” katanya.

Disunting Oleh : Unit Media Lembaga Zakat Negeri Kedah


350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF??

HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf”