BALING, 15 FEBRUARI 2021 – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) memperuntukkan RM23 juta menerusi empat skim bantuan khas bagi mengurangkan jurang ‘kemiskinan digital’ dalam kalangan pelajar daripada golongan asnaf di negeri ini.

Pengerusi LZNK, Yamg Berhormat Dato’ Paduka Ammar Dato’ Shaikh Mahmood Naim berkata, bantuan menerusi empat skim itu dapat memastikan pelajar miskin tidak tercicir daripada mendapat pendidikan yang sempurna dalam tempoh pandemik Covid-19 ini.

Menurutnya, skim pertama melibatkan peruntukan sebanyak RM21 juta untuk diagihkan kepada semua sekolah di bawah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) pada 2019 dan 2020 bagi tujuan pembelian peralatan pembelajaran dan pengajaran (PdPR).

“Pihak LZNK menyerahkan sepenuhnya kepada pengurusan sekolah untuk mencari pelajar yang tidak dapat mengikuti sesi PdPR untuk diagihkan bantuan peralatan digital seperti telefon pintar, tablet dan komputer riba termasuk pakej langganan data dan internet mengikut kesesuaian,” katanya.

Beliau berkata ketika ditemui pemberita pada majlis penyerahan bantuan telefon pintar kepada Orang Asli, di Perkampungan Orang Asli, Lubuk Legong, Kampung Lalang, di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 15 orang Anak Orang Asli Kensui menerima telefon pintar daripada LZNK.

Beliau memberitahu, skim kedua melibatkan memperuntukkan sejumlah RM650,000 kepada tiga buah sekolah zakat Kedah yang menempatkan 370 pelajar asnaf bagi melaksanakan program i-Digital dengan menyediakan kemudahan telefon pintar serta data dan internet selama setahun.

Selain itu, tambahnya, skim ketiga melibatkan memperuntukkan sejumlah RM561,000 untuk bantuan peralatan digital kepada 187 buah sekolah-sekolah yang berdaftar di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK).

“Bagi skim keempat pula, seramai 360 pelajar fakir dan miskin yang cemerlang di sekolah-sekolah Agama Rakyat (SAR) akan mendapat tajaan biasiswa membabitkan peruntukan sebanyak RM280,000 dan bantuan telefon pintar serta data dan internet secara percuma selama setahun,” ujarnya.

Sementara itu, pelajar Tingkatan Dua, Maahad Dini Sultan Abdul Halim, Sik, Iskandar Mohd. Nor, 14, berkata, dia merasa bersyukur dan berterima kasih kepada LZNK yang membantu dia dan rakan-rakannya mendapat kemudahan telefon pintar untuk tidak ketinggalan mengikut kelas secara dalam talian.

“Kini saya dan kawan-kawan dapat terus belajar di rumah melalui kaedah PdPR dan tidak lagi risau tentang ketinggalan dalam pelajaran.

“Kami juga boleh belajar dengan baik apabila dapat melihat wajah dan suara cikgu walaupun jauh dan kami menjadi lebih bersemangat untuk belajar sebagai persediaan menghadapi peperiksaan nanti,” katanya.

Disunting Oleh : Unit Media Lembaga Zakat Negeri Kedah


350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF??

HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf”