BALING, 26 JULAI 2018 – Kesempitan hidup menyebabkan suami isteri dan dua anak terpaksa hidup di pondok buruk yang dibina di pinggir Kampung Charok Bakong, Dalam Wang, dekat Baling, sejak tiga tahun lalu.

Bagi Muhamad Fuzilah Che Azmi, 35, isteri, Siti Zakiah Mustafa, 28, serta dua anak, Muhammad Izzul Darwisy, 7, dan Siti Nur Iklil Amani, 2, pondok yang berdinding buluh dan beratap zink itu adalah ‘syurga’ mereka.

Di situlah empat beranak berkenaan berteduh dari hujan dan panas kerana tidak mampu mendiami rumah lebih selesa disebabkan kemiskinan.

Muhamad Fuzilah berkata, dia terpaksa membina pondok itu menggunakan kayu hutan dan barangan terbuang kerana tidak mampu menyewa kediaman selain malu menumpang rumah ahli keluarga lain.

Dia hanya bergantung kepada upah diberi penduduk kampung hasil melakukan pelbagai pekerjaan bagi menyara keluarganya.

Muhamad Fuzilah berkata, bapa mana yang sanggup melihat anaknya terpaksa bersejuk tiap kali hujan lebat akibat terkena tempias air yang masuk melalui atap dan dinding pondok yang bocor.

Setiap kali hujan kami terpaksa berpindah tempat tidur kerana air masuk di segenap penjuru pondok.

Memang sedih melihat anak-anak yang basah terkena tempias air hujan, namun saya tetap bersabar dengan setiap ujian Allah ini,” katanya.

Bagi menjimatkan wang, keluarga berkenaan juga terpaksa menggunakan air bukit untuk memasak dan membasuh selain bergantung kepada bekalan elektrik daripada rumah jiran yang tinggal berdekatan.

Saya akan berusaha mencari rezeki setiap hari bagi memastikan dapur berasap dan anak saya dapat ke sekolah kerana tidak mahu menjadikan kemiskinan sebagai alasan anak tercicir dalam pelajaran.

Saya akan pastikan anak saya yang sedang belajar di Tahun Satu Sekolah Kebangsaan (SK) Dalam Wang ke sekolah setiap hari seperti murid lain,” katanya.

Walaupun sudah menerima bantuan daripada pihak Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) 3 tahun yang lalu dan  bantuan sekaligus pada tahun sebelumnya, namun atas kesusahan yang dialami keluarga itu, Pejabat Zakat Daerah Baling telah tampil menyantuni mereka sekali lagi bagi mengenalpasti masalah yang dialami mereka.

Dalam pada itu, pihak PZD Baling berkata, keluarga tersebut  layak untuk menerima bantuan kewangan bulanan di bawah Skim Had Kifayah bagi mengurangkan beban dan kos sarahidup yang perlu ditanggung oleh mereka sekeluarga.

350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF?? HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf”