KULIM, 03 MAC 2019 – Nasib keluarga Thahir Lazim yang sedang menghadapi masalah kewangan telah mendapat perhatian Pejabat Zakat Daerah Kulim apabila pegawainya, Ustaz Mohd Khairi Ishak telah berkesempatan untuk turun menyantuni keluarga ini di Kampung Paya Jemerli, Karangan Kulim Kedah.

Pihak Pejabat Zakat Daerah Kulim menerima maklumat berkaitan keadaan keluarga ini melalui talian aduan Whatsapp sekaligus mengambil tindakan pantas untuk turun menziarahi keluarga tersebut.

Menurut Pegawai Zakat Daerah Kulim, Ustaz Mohd Khairi Ishak, keluarga tersebut merupakan salah seorang daripada penerima bantuan bina rumah daripada pihak LZNK pada tahun 2014 yang lalu.

Namun, berikutan masalah kesihatan ketua keluarganya, mereka sekeluarga terhimpit dalam kesusahan kerana mengalami masalah dari segi kekangan kewangan.

Dalam pada tiu, Thahir Lazim, tidak memiliki tempurung kepala apabila telah dibuang selepas beliau terlibat dalam satu kemalangan jalanraya tiga tahun lalu.

Akibat kejadian tersebut, beliau tidak dapat bekerja untuk menyara ahli keluarganya.

Lebih menyayat hati apabila isterinya turut menghidapi komplikasi buah pinggang dan perlu menjalani rawatan dialisis di hospital kerajaan.

Malahan, isterinya tidak mampu melakukan sebarang kerja apabila turut diserang angin ahmar (strok) pada bulan Disember 2018.

Seorang anak mereka yang tinggal bersama juga merupakan orang kurang upaya (OKU) yang sah daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mereka sekeluarga hanya bergantung harap keatas bantuan kewangan daripada pihak JKM serta sumbangan anak perempuannya yang sudah berkahwin dan bekerja sebagai tukang cuci di sebuah premis.

Ustaz Mohd Khairi berkata,”Walaupun pihak LZNK telah membantu keluarga ini dari aspek penyediaan tempat tinggal. Kami tidak akan mengetepikan keperluan mereka sebagai asnaf yang layak dibantu memandangkan faktor kewangan pada masa kini semakin menghimpit kehidupan mereka.

Bukanlah kehendak mereka untuk diuji sebegini dan pihak LZNK akan menyalurkan bantuan yang bersesuaian dengan keperluan mereka menggunakan wang zakat.

Terdahulu, kit bantuan makanan asas telah disalurkan kepada keluarga ini sebagai tanda bersimpati pihak LZNK terhadap ujian yang melanda keluarga ini.

350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF??

HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740 
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf”